Selasa, Januari 27, 2009

Selamat Tahun Baru Cina - Tahun Lembu, Isu Lembu

1. Selamat tahun baru kepada rakan-rakan dari kaum Tionghua. Saya berharap saudara/i dapat menyambut kedatangan tahun Lembu ini dengan suasana yang menggembirakan biarpun prospek ekonomi dunia tidaklah begitu baik. Sifat positif dan berkeyakinan amat diperlukan dalam menghadapi kelembapan ekonomi dunia hari ini.

2. Nampaknya kita menyambut tahun Lembu tahun ini dengan isu lembu. Saya tahu ada pihak yang tidak gembira apabila saya mendedahkan isu lembu korban anak-anak syarikat kerajaan negeri kepada surau dan Masjid dalam Parlimen Tun Razak.

3. Keuntungan anak-anak syarikat kerajaan negeri Selangor seharusnya disalurkan semula ke dalam negeri Selangor. Tindakan Tan Sri Khalid meminta PKNS membiayai program sedekah lembu korbannya untuk surau dan masjid Parlimen Bandar Tun Razak bukan sahaja tidak wajar, malah mencetuskan tanda tanya mengenai isu salah guna kuasa seperti yang didakwa oleh GERAK dalam laporannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

4. Sebenarnya saya tidak perlu mendedahkan surat tersebut jika Tan Sri Khalid Ibrahim tidak menafikannya pada peringkat awal. Tan Sri Khalid dalam beberapa kenyataan sebelumnya menafikan pengetahuan beliau mahu pun pembabitan beliau dalam isu tersebut. Namun jelas dalam surat daripada Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar Selangor kepada Pengurus Besar PKNS bahawa terdapat "arahan" Tan Sri Khalid agar PKNS membiayai lembu korban tersebut. (sila lihat laman web PembangkangSelangor.com)

5. Sekiranya Tan Sri Khalid berpendapat Ketua Setiausaha Sulitnya mengeluarkan surat tersebut tanpa pengetahuan dan kebenarannya, maka tindakan tatatertib harus diambil ke atas pegawai terbabit. Namun melihat salinan surat yang dihantar kepada saya termasuk cop Tan Sri Khalid di muka surat senarai surau dan masjid yang akan mendapat sumbangannya, saya fikir jelas Tan Sri Khalid mengetahuinya.

6. Saya mendengar Tan Sri Khalid "mengugut" untuk mendedahkan perbelanjaan dan setiap tindakan saya ketika menjadi Menteri Besar dahulu. Tan Sri Khalid boleh melakukan apa sahaja yang beliau fikirkan baik kepada rakyat dan negeri Selangor. Namun jika beliau fikir dengan "ugutan" sedemikian akan menyebabkan saya tidak akan mendedahkan lagi kepincangan pentadbiran beliau, ia adalah satu kesilapan besar.

Dr Mohamad Khir Toyo

Selasa, Januari 20, 2009

Melakukan Pembaharuan Untuk Harapan Baru

1. Sehari selepas kalah di Kuala Terengganu saya di wawancara oleh TV3. Apabila ditanya apakah yang BN perlu lakukan bagi menghadapi fenomena ini saya menyarankan agar diadakan pembaharuan (reform) dalam parti dan kerajaan.

2. Pembaharuan yang saya utarakan ialah antara lain menukar imej dan kaedah kempen Barisan Nasional. Imej sedia ada BN sama ada dari segi pendekatan kempen, slogan mahu pun imej-imej poster dan baju harus diberi nafas baru. Setelah hampir 30 tahun menggunakan imej dan poendekatan yang sama, nyata ia telah agak ketinggalan zaman. Imej BN hari agak kurang "menangkap" jiwa anak-anak muda. Kempen BN juga harus menunjukkan ia sebuah perikatan yang berbilang kaum. Kempen berasingan UMNO untuk orang Melayu, MCA dan Gerakan untuk masyarakat tionghua dan MIC untuk kaum India sudah ketinggalan zaman. Ketika kita tidak dapat menafikan kepentingan setiap parti ini memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing, namun kempen pilihan raya harus menampakkan keakraban antara kaum ini.

3. Tapi pembaharuan terhadap BN merupakan perkara titik bengit yang mungkin tidak penting jika pembaharuan lebih besar dapat dilakukan oleh BN. Pembaharuan yang saya maksudkan ialah pembaharuan dalam kerajaan yang dikuasai oleh BN.

4. Saya menyarankan agar Dasar Ekonomi Baru harus dikaji semula dan diberi nafas baru atau diwujudkan formula pentadbiran baru negara yang merangkumi ekonomi, hubungan antara kaum dan agama yang boleh memuaskan hati orang Melayu dan bukan Melayu. Ini penting kerana saya melihat DEB telah diberi label dan tanggapan yang salah oleh pemimpin politik parti tertentu yang mempunyai agenda peribadi berbanding menjaga kepentingan bangsa, agama dan negara.

5. Pentadbiran kerajaan juga harus berubah. Lebih banyak kakitangan kerajaan diberi kerja lapangan berbanding sekadar memenuhi ruang pejabat di Putarajaya sehingga penuh sesak sekarang ini.

6. Jika kita lihat apabila Perikatan terlepas banyak kerusi pada 1969, Tun Abdul Razak ketika itu melontarkan perubahan yang ketara sama ada di dalam parti mahu pun kerajaan. Di dalam parti, allahyarham Tun Razak telah memberi nafas baru kepada Perikatan diberi nafas baru dengan melakukan pembaharuan imej, nama dan slogan. Perikatan bertukar kepada Barisan Nasional, lambang kapal layar bertukar kepada dacing

7. Lebih penting Tun Razak yang melihat masalah ketika itu mengemukakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan menstruktur semula ekonomi dan sosial masyarakat majmuk Malaysia. Ini semua memberi harapan baru dan juga hala tuju baru kepada rakyat ketika itu. Rakyat dan negara melihat BN mempunyai arah dan matlamat yang nyata dan ini memberi mereka keyakinan kepada BN selama lebih 30 tahun.

8. Namun keyakinan itu telah hilang sejak beberapa tahun kebelakangan ini. DEB sudah dilihat oleh sebahagian rakyat sebagai mantera lama yang tidak lagi meyakinkan mereka. Polisi-polisi pembangunan baru juga tidak menambat hati nurani rakyat biasa. Sebahagian rakyat melihat BN sudah menjadi satu imej yang streotype dan tidak mengujaka.

9. Mungkin secara kebetulan atau ketentuan Allah, sejarah berulang lagi. Kali ini giliran anak allahyarham Tun Razak, Datuk Seri Najib memikul tanggungjawab yang hampir sama seperti bebanan allahyarham ayahndanya. Tanggungjawab memulihkan BN ini merupakan satu tanggungjawab yang menuntut keberanian dan kekuatan politik.

10. Saya melihat Datuk Seri Najib ada keberanian dan kekuatan tersebut. Cuma adakah beliau akan menggunakan kekuatan dan keberanian ini untuk melakukan pembaharuan dan memberi harapan yang segar kepada generasi muda?

Dr Mohamad Khir Toyo

Jumaat, Januari 16, 2009

PANAS...PANAS...Husam Musa sendiri dedahkan PAS tahu 'perangai' sebenar Anwar


Orang ramai terutama pengundi sekitar Kampung Kubang Parit dalam kawasan Wakaf Mempelam Kuala Terengganu bukan sahaja dikejutkan kandungan surat ‘damai’ Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Tun Dr Mahathir Muhamad tetapi pendedahan bagaimana nawaitu PAS mahu memperkudakan Ketua Pembangkang itu.
Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Mohd Ezam Mohd Nor dengan lafaz ‘ Wallahi, Wabillahi, Watallahi’ pada ceramahnya di situ Rabu malam, bersumpah pernah memberitahu Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa bahawa beliau keluar parti Keadilan kerana Anwar lakukan perkara yang tidak boleh diterima Islam.
Ezam yang mengakui berkawan baik dengan Husam berkata, beliau bertemu pemimpin PAS itu selepas buat keputusan keluar dari PKR tidak lama dulu malah orang pertama yang dimaklumkan secara peribadi mengenai perkara itu.“ Pada malam ini, saya nak bagi tahu, dengan lafaz ‘ Wallahi, Wabillahi, Watallahi’ saya beritahu Husam bahawa saya nak tinggalkan Anwar kerana ada beberapa perkara yang dilakukan oleh Anwar secara peribadi dan politik yang saya tak boleh terima sebagai orang Islam.“Saya bagi tahu kalau saya terus membantu beliau (Anwar) jadi pemimpin, saya berdosa besar. Saya tak nak bagitahu yang lain kerana tak mahu aibkan orang,” ujar Ezam dalam ceramahnya sebelum mendedahkan kandungan surat ‘damai’ Anwar kepada bekas Perdana Menteri itu.
Menurut Ezam, sebagai kawan dan pemimpin PAS yang dihormati, beliau bertemu Husam untuk memberitahu keputusannya keluar Keadilan.“Nak tahu apa jawapannya?, Saya cabar dia nafikan. Anwar saya tak mahu cabar dia, kerana saya tahu, mana dia mahu. Tapi saya cabar Husam nafikan...nak tahu apa jawapannya, Husam kata “ kita pun tahu ( perangai Anwar) tapi sebab politik, kita nak pakai dia, kita nak tunggang dia,” katanya.Ezam berkata, beliau terkejut kenyataan itu yang keluar daripada Naib Presiden PAS. Dalam ceramahnya itu beliau kemudiannya mencabar Husam menafikan kata-katanya pasal PAS nak tungang Anwar itu sebelum habis tempoh berkempen pada pilihan raya kecil parlimen Kuala Terengganu 17 Januari ini.Cabaran itu ekoran kenyataan terbaru pemimpin kanan PAS itu semasa kempen pilihanraya kecil ini mendakwa Ezam masuk UMNO kerana hendak cari makan.“Saya cabar Husam datang Kuala Terengganu jawab tuduhan kata saya masuk UMNO kerana nak cari makan. Di ada dua malam atau dua hari ( dari Rabu malam) jawab cabaran saya,” tegasnya.Menurut Ezam, sebelum ini beliau tidak mahu sentuh perkara itu tetapi beliau cukup terguris dengan tuduhan dibuat oleh Husam yang menjejaskan kredibilitinya.“ Dia tahu sebab saya keluar Keadilan tetapi mungkin kerana terpengaruh janji Anwar nak bagi jawatan menteri atau apa, dia sanggup buat kenyataan saya masuk UMNO kerana nak cari makan.
“Kerana Husam sudah mencabar maruah saya, dengan lafaz sumpah saya tadi, saya cabar beliau, dua malam lagi supaya turun Kuala Terengganu dan buat sumpah nafikan kenyataan saya ini,” ujarnya.Katanya, kalau perkara itu tidak selesai selepas 17 Januari, beliau akan ‘ pusing keliling’ seluruh Kelantan selepas pilihanraya kecil Kuala Terengganu untuk berdepan dengan Husam.“Kalau nak perang, kita perang. Kerana apa, kerana Anwar juga kata saya jadi alat pada UMNO. Saya bukan diperalatkan tetapi dulu Anwar peralat saya untuk bebaskannya,”.“Tetapi untuk agama dan bangsa saya, saya rela diperalatkan malah seluruh nadi, denyut jantung dan darah saya rela,” tegasnya.Cabaran Ezam itu sekaligus membuka episod baru perang Ezam dengan pemimpin PAS itu selepas perangnya dengan Anwar sejak beliau keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan sertai UMNO. Menurut Ezam lagi, selepas membaca kandungan surat Anwar kepada Dr Mahathir, beliau mencabar PAS menyatakan prinsip dengan membuat keputusan segera meninggalkan Anwar kerana daripada surat itu, jelas Anwar pemimpin paling hipokrit pernah dilahirkan dalam negara.“Dan kalau PAS tak berani buat keputusan prinsip itu, rakyat dan pengundi Kuala Terengganu harus buat keputusan pada Sabtu ini buat keputusan tolak pemimpin hipokrit itu serta parti yang bersekongkol dengannya termasuk PAS,” katanya. Mengenai surat Anwar yang diserah padanya pada 8 September,1998 itu untuk disampaikan kepada Dr Mahathir sebenar adalah untuk mendedahkan bahawa bekas timbalan perdana menteri itu bersikap hipokrit dan munafik yang berbahaya kepada negara.Menurut Ezam, surat berkenaan adalah untuk menunjukkan betapa hipokritnya sikap Anwar yang pada ketika yang sama mengutuk Dr Mahathir kerana dipecat tetapi tanpa pengetahuan para penyokongnya menulis surat nak berdamai dengan Dr Mahathir.“Ini surat dibuat selepas dia dipecat dan kritik hebat Dr Mahathir. Daripada surat ini, seluruh rakyat boleh menilai jenis pemimpin apa Anwar Ibrahim ini,” katanya.
Menurut Ezam bekas bosnya itu adalah jenis yang boleh bercakap dengan Lim Kit Siang lain dan kemudiannya cakap lain dengan Datuk Seri Haji Hadi Awang.Katanya, surat itu sudah dihantar kepada Pejabat Perdana Menteri selepas terlewat sampai untuk menyerahkan surat berkenaan.Ezam menegaskan, selepas 17 Januari ini beliau akan ke seluruh negara melakukan perhitungan dengan Anwar bersama kawan-kawannya dengan surat ini dan beberapa kotak-kotak tersebut yang belum selesai. Menjawab soalan wartawan selepas ceramah itu, Ezam berkata, beliau menyimpan salinan surat berkenaan setelah mula timbul rasa curiga dengan tindak tanduk Anwar.Beliau turut menjawab kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar kononnya Anwar akan membongkar surat Ezam kepada Perdana Menteri yang meminta jawatan politik sebelum masuk UMNO.Ezam menafikan ada membuat surat memohon jawatan atau secara lisan berbuat demikian.Ezam turut mencabar Anwar meletakkan jawatan daripada politik jika selepas tujuh hari beliau gagal meunjukkan surat berkenaan.“Saya juga cabar dalam tempoh kempen pilihan raya Kuala Terengganu, Anwar tunjukkan surat itu. Kalau ada, saya akan berhenti politik. Tetapi selepas 7 hari jika dia tak buat juga, saya cabar dia lepaskan jawatan daripada politik,” katanya.“Kalau dia ada maruah , dia mesti letak jawatan. Kalau dia tak buat, jatuhlah maruah dia kerana berbohong,” tegas Ezam yang percaya Anwar tidak pernah menjawab isu yang dibangkitkan termasuk ketika berkempen di Permatang Pauh.

Ahad, Januari 04, 2009

Anwar dan Hudud

Pas kata nak laksanakan hudud. DAP menentang hasrat Pas. Karpal Singh pun menuntut Anwar bersuara tentang hal hudud. Setakat ini, Anwar kelihatan membisu terhadap kes hudud ni.

Retorik Pas untuk melaksanakan hudud bukan baru. Malah Anwar pun sekali dahulu pernah memberi komen tentang hasrat Pas melaksanakan hudud. Jom kita baca, apa Anwar kata tentang perlaksanaan hudud oleh Pas dahulu:

Kerajan Kelantan tidak ikhlas KOTA BHARU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata hukum hudud yang dikemukakan oleh Pas tidak menampakkan keikhlasan kerajaan negeri pimpinan Pas itu dalam melaksanakan dasar Islam. Sebaliknya, kata beliau, rang undang-undang jenayah syariah itu hanya lebih satu taktik pendekatan Pas untuk menarik rakyat supaya menyokong perjuangan mereka. (Berita Mingguan, 27/03/1994)

Jadi macam mana penyokong Pas? Setuju dengan Anwar?

Rasa-rasanya penyokong Pas percaya kata Anwar, bukan begitu? Sebab tiap-tiap kali Anwar mengeluarkan kenyataan, penyokong Pas terima bulat-bulat. 16 September lah, ada orang nak bunuh lah, liwat itu konspirasi lah. Sekarang ni macam mana? Kamu nak kata Pas tak ikhlas, atau kamu nak kata Anwar penipu?

Kepada ahli-ahli dan penyokong Pas, saya berharap kamu mengambil kenyataan Anwar ini dalam pertimbangan untuk menentukan betapa ikhlasnya Pas melaksanakan hudud, dan betapa ikhlasnya Anwar berpakat dengan Pas untuk menegakkan keadilan.

Ingat, Anwar kata:
-"hukum hudud yang dikemukakan oleh Pas tidak menampakkan keikhlasan kerajaan negeri pimpinan Pas itu dalam melaksanakan dasar Islam."

-"... hanya lebih satu taktik pendekatan Pas untuk menarik rakyat supaya menyokong perjuangan mereka."