Isnin, November 03, 2008

Pemuda Selangor hantar memorandum

Pergerakan Pemuda UMNO Selangor hari ini menyerahkan memorandum kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi merayu campur tangan baginda berhubung beberapa keputusan kerajaan negeri yang mengabaikan kepentingan orang Melayu di negeri ini.

Memorandum satu muka surat itu diserahkan oleh ketuanya, Abdul Shukur Idrus kepada pegawai pengiring Sultan Selangor, Komander Ahmad Ramli Kardi di pekarangan Istana Bukit Kayangan di sini pada pukul 5.05 petang.

Hadir mengiringi Abdul Shukur ialah kira-kira 50 orang yang terdiri daripada ketua dan ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO bahagian.

Selesai menyerahkan memorandum, semua yang hadir melaungkan perkataan ‘Hidup Melayu’ dan ‘Hidup UMNO’ sebelum bersurai.

Abdul Shukur berkata, terdapat lima perkara yang merupakan tuntutan dan rasa tidak puas hati rakyat Selangor disenaraikan di dalam memorandum tersebut untuk dipersembahkan dan pertimbangan baginda.

perkara pertama ialah mendesak Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya tidak ingkar terhadap perintah baginda yang tidak memberi perkenan terhadap beberapa keputusan menyerahkan jawatan tinggi dan penting kepada bangsa asing yang sepatutnya hak orang Melayu.

perkara kedua ialah bantahan terhadap pelantikan Timbalan Pengurus Korporat dan Akaun Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Low Siew Moi sebagai Pemangku Pengurus Besar perbadanan itu.

‘‘Kita juga menyelar kebiadapan Abdul Khalid yang memecah tradisi dan mengenepikan kemampuan orang Melayu beragama Islam dalam menerajui tampuk tertinggi pengurusan dan pentadbiran PKNS sejak tahun 1964.

‘‘Selain itu kita turut kesal dengan perbuatan melukakan perasaan dan maruah orang-orang Melayu yang beragama Islam oleh kerajaan campuran pembangkang Selangor yang berusaha mencari modal mega berjumlah 10 juta bagi membaiki dan membangunkan sekolah-sekolah Tamil dan Cina sedangkan sekolah agama rakyat masih belum terbela sepenuhnya.

‘‘Kedua-dua perkara itu terkandung dalam perkara ketiga dan keempat,”

Abdul Shukur memberitahu, perkara kelima yang terkandung dalam memorandum itu ialah kekecewaan Pemuda UMNO Selangor dan rakyat dengan sikap Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas yang tunduk kepada kemahuan DAP, sekali gus menggambarkan Abdul Khalid hanyalah boneka mereka.