Khamis, Jun 26, 2008

Pakatan Rakyat Selangor Sudah Tidak Sefahaman

Tembelang Pakatan Rakyat kian terbuka. Sungguhpun ketika mengumumkan Tan Sri Khalid Ibraghim sebagai Menteri Besar kita dihidangi dengan pelbagai dakwaan tentang kejayaan dan kehebatan beliau sebagai tokoh korporat terkemuka, namun ia tidak seindah yang dijaja.

Akhirnya realiti mula muncul mengganti segala ilusi ciptaan "spin master" politik Parti Keadilan Rakyat. Daripada kegagalan untuk mengurangkan cukai pintu sebanyak 20% seperti yang dijanjikan sehinggalah kepada isu ketelusan yang menjadi modal politik mereka tidak dilaksanakan.

Selepas 100 hari yang diuar-uarkan sebagai tempoh mematangkan kerajaan baru, Tan Sri Khalid meminta tempoh lagi. Semalam beliau meminta sehingga bulan Ogos ini untuk mencari jalan mengatasi masalah curi pasir. Buat masa ini hanya pemantauan akan dibuat. Soalnya, jika sudah tahu pencuri pasir tangkap sahajalah.

Masalah dalaman Pakatan Rakyat juga kian meruncing. Janji-janji untuk melantik bukan ahli politik sebagai ahli majlis PBT tidak ditunaikan. Hampir 75% ahli majlisbaru merupakan dari kalangan pemimpin politik. Malah wakil-wakil badan bukan kerajaan juga dilantik dari kalangan mereka yang mempunyai simpati politik terhadap Pakatan Rakyat.

Semalam kira-kira 200 orang penyokong PKR yang diketuai oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Besar membuat demontrasi meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim memecat Tan Sri Khalid Ibrahim. Apakah yang berlaku sebenarnya dalam pentadbiran kerajaan negeri hari ini?

Tan Sri Khalid juga mengumumkan kejayaan beliau menarik pelaburan RM10 bilion ke Selangor. Namun kita tidak dengar atau nampak satu pun projek pelaburan baru diumumkan. Benarkah beliau berjaya menarik RM 10 bilion pelaburan asing atau sekadar "jual minyak tepi jalan" sahaja?

Sudah masanya, Tan Sri Khalid membuat lebih banyak kerja bukannya bercakap terlalu banyak.