Khamis, Jun 05, 2008

KETUANAN MELAYU DAN KETUANAN RAKYAT

Apakah salah dan hina Ketuanan Melayu sehingga sudah ada suara-suara yang mempertikaikannya? Malah terdapat pemimpin UMNO sendiri sudah berpendapat bahawa UMNO perlu dijenamakan kembali dan ditukar asas perjuangan ini. Hanya kerana kali ini sebahagian besar kaum Cina dan India tidak mengundi Barisan Nasional, maka kita seolah-olah hilang tujuan dan arah.Jika isu ketuanan Melayu yang menjadi masalah kepada orang muda dari kaum Cina dan India, maka kita perlu menerangkan asas mengapa ketuanan Melayu itu menjadi salah satu perjuangan UMNO.

Malahan sebahagian orang muda Melayu sendiri hari ini sudah tidak faham makna ketuanan Melayu.Ketuanan Melayu bukanlah untuk menjadikan Melayu ini Tuan dan bukan Melayu sebagai Hamba. Sebaliknya Ketuanan Melayu bermaksud atau simbol kedudukan Sultan-Sultan Melayu sebagai tunggak negara yang menjaga kepentingan agama Islam, adat istiadat Melayu dan Bahasa Melayu.Sebab itu apabila para pemimpin kita dahulu memutuskan perjuangan mempertahankan ketuanan Melayu ia merupakan perjuangan mempertahankan kedudukan kesultanan Melayu, agama Islam, adat istiadat orang Melayu dan Bahasa Melayu.Hanya kerana generasi hari ini tidak memahami makna dan maksud ketuanan Melayu bukan bermakna ia tidak lagi relevan.

Apakah hanya kerana ia dijadikan isu bagi menunjukkan UMNO ini sebuah parti perkauman, maka kita mahu lari dari tuduhan dengan menukar arah perjuangan kita.Tidak ada salah dengan kenyataan atau laungan mempertahankan Ketuanan Melayu sekiranya kita memberi kefahaman yang tepat kepada orang ramai. Mempertahankan ketuanan Melayu merupakan mempertahankan asas-asas Perlembagaan Negara. Apakah perlembagaan negara merupakan sebuah perlembagaan yang berunsur perkauman?Ketuanan Melayu tidak pernah menindas bangsa lain atau menjadikan bangsa lain sebagai hamba. Selama berpuluh tahun UMNO membawa perjuangan Ketuanan Melayu tidak ada satu bangsa pun yang ditindas atau menjadi hamba.

Saya melihat begitu ramai orang bukan Melayu yang menikmati kemajuan pesat negara, malah dalam banyak keadaan kaum bukan Melayu meraih kek ekonomi yang lebih besar berbanding orang Melayu. Orang Melayu sendiri tidak pernah menganggap dirinya tuan atau mahu dipanggil tuan. Malah orang Melayu juga berusaha keras untuk berjaya di negara iniMasalah kita hari ini, terdapat pemimpin UMNO sendiri tidak memahami erti Ketuanan Melayu yang dilaung-laungkan. Ada yang merasakan mereka menjadi tuan sehingga lupa maksud asal ketuanan Melayu.

Ketuanan Rakyat Idea Kerajaan Republik?

Bagi memberi tekanan kepada UMNO, ada kumpulan tertentu yang memperkenalkan pula slogan Ketuanan Rakyat. Apakah makna Ketuanan Rakyat ini tiada siapa yang tahu. Jika kita katakan Ketuanan Rakyat ini sebagai menjadikan rakyat sebagai tuan, apakah kita nampak ia dilakukan di negeri-negeri yang diperintah oleh kumpulan ini? Sehingga hari ini kita belum nampak rakyat menjadi tuan di negeri-negeri ini.

Saya melihat Ketuanan Rakyat ini merupakan satu usaha meruntuhkan asas-asas Perlembagaan Malaysia yang kita pertahankan dalam perjuangan Ketuanan Melayu.

Apakah yang ingin diruntuhkan melalui slogan ketuanan rakyat? Pada hemat saya ketuanan rakyat ini akan cuba menjadikan negara ini sebagai sebuah negara republik. Perkara ini boleh berlaku bila mana institusi beraja akan dinafikan atau dicabar haknya dalam isu-isu agama Islam.

Sekarang ini sudah nampak usaha-usaha meletakkan Islam setaraf dengan agama-agama lain. Kuasa sultan-sultan juga sedang dicabar oleh mereka yang tidak pun terbabit dalam pentadbiran negeri dan negara. Mereka juga mendesak kerajaan agar merombak kuasa perlantikan hakim-hakim oleh Majlis Raja-raja Melayu.

Apakah erti segala usaha mencabar segala struktur Perlembagaan ini? Apakah sudah wujud agenda untuk menjadikan negara ini sebagai republik melalui slogan Ketuanan Rakyat? Bukankah idea-idea ini merupakan usaha mencabar kedudukan Raja-raja sebagai custodian agama Islam dan orang Melayu?

Dengan runtuhnya sistem beraja ini, maka kedudukan agama Islam akan hanya setaraf dengan agama lain, hak-hak istimewa orang Melayu yang termaktub dalam perlembagaan juga akan turut terkubur. bersama matinya sistem beraja di negara kita. Begitu juga nasib yang akan menimpa kepada bahasa Melayu. Ini semua akan berlaku dan jadilah negara kita sebagai sebuah negara republik yang tidak mempunyai agama rasmi, tidak mempunyai hak istimewa orang Melayu dan tidak mendaulatkan bangsa Melayu.

Saya tidak tahu sama ada rakyat Malaysia terutamanya orang melayu akan membiarkan perkara ini terjadi. Sebenarnya perkara yang sama telah pun berlaku di negara jiran kita Singapura.

Orang Melayu mesti sedar apakah di sebalik gagasan idea ketuanan rakyat ini.

Tercabarkah Perpaduan Kaum Akibat Ketuanan Rakyat

Saya bimbang jika ini berlaku akan terjadi kejadian yang akan merosakkan hubungan harmoni di antara kaum yang telah terjalin hasil dari rundingan yang dilakukan di antara tiga kaum ketika merdeka.

Jangan sudah terantuk baru tergadah. Bangsa Melayu yang tergadai akan hilang pertimbangan dan pada ketika itu emosi akan mendepani perjuangan. Tindakan yang akan diambil merupakan tindakan di luar jangkaan. Orang Melayu bila terus diasak sehingga tiada ruang untuk bergerak, mereka akan mengambil tindakan walaupun mungkin tidak akan menguntungkan negara.

Rakyat Malaysia perlu belajar dengan apa yang berlaku di negara Balkan seperti Bosnia, Serbia dan Croatia bila mana masalah kaum dan agama menjadi pemisah dan pencetus kepada perperangan.

Janganlah kerana kita memikirkan untung yang sedikit tetapi akhirnya rugi seumur hidup. Biarlah kita dilihat rugi sedikit hari ini tapi hidup aman hingga akhir hayat.

Ideologi Ketuanan Rakyat akan membawa satu fenomena yang amat berbahaya kepada negara kita. Saya masih berpandangan orang Melayu tidak akan merelakan raja mereka dinafikan haknya, ketuanan Melayu tidak diberi tempat, agama Islam tidak menjadi agama rasmi negara lagi. Bagi orang Melayu Islam itu agama mereka dan mesti menjadi agama rasmi negara. Raja dijunjung demi mempertahankan agama Islam.

Perjuangan Agama, Bangsa dan Negara tetap diteruskan

Akhirnya saya mengharapkan kepada seluruh rakyat Malaysia berfikir untuk maju ke hadapan tanpa mengorbankan sejarah dan pusaka kita bangsa kita. Perjuangan UMNO adalah untuk mempertahankan sejarah dan pusaka kita.

Kedudukan Raja-raja Melayu, hak orang Melayu, agama Islam dan bahasa Melayu akan terus menjadi tunjang perjuangan ini. Walau apa pun yang diperkatakan, UMNO perlu menegakkan perjuangan ini. "Patah sayap bertongkatkan paruh, namun gunung tetap didaki"

MELAYU DI PERSIMPANGAN

Assalamualaikum dan salam sejahtera para sahabat bloggers dan para pembaca sekalian.Rentetan perbahasan awal saya mengenai Ketuanan Melayu dan Ketuanan rakyat dalam tulisan yang lalu, kini timbul satu lagi persoalan di kalangan orang Melayu. Melayu kini berada di persimpangan antara kelompok yang ingin terus kekal sebagai satu bangsa Melayu yang moderate (sederhana) seperti UMNO hari ini, dengan kelompok liberal yang mahu menukar segala kepentingan Melayu atas prinsip kesamarataan. Malah terdapat satu kumpulan Melayu lagi yang mahu kembali ke sifat ultranya yang tidak mahu bertolak ansur terhadap sebarang keadaan yang membabitkan kepentingan orang Melayu.Elok difahami apakah makna ultra, moderate dan liberal ini. Ultra ini merujuk kepada kumpulan eksterim yang melihat kepentingan bangsa atau puaknya semata-mata tanpa mempedulikan kepentingan bangsa atau kaum lain.

Mereka ini sanggup melakukan apa sahaja tindakan demi menjaga kepentingan kaumnya tanpa mempedulikan kesan dan akibat tindakan tersebut. Manakala moderate merujuk kepada kumpulan yang bersederhana dalam setiap tindakan. Melihat keadilan sebagai matlamat utama tanpa menjejaskan kepentingan bangsanya. Sentiasa melihat kepentingan pelbagai bangsa atau kaum tanpa menjejaskan kepentingan puaknya. Puak Liberal pula pihak yang sentiasa terbuka kepada pelbagai pendapat dan tidak meletakkan bangsanya sebagai agenda. Sebaliknya hanya memperjuangkan kesamarataan dan logik akal semata. Dilema ini bukan sahaja di kalangan orang Melayu dalam UMNO malah juga Pas. Hari ini kita melihat Pas telah berubah dari sebuah parti ultra Islam kepada sebuah parti liberal Islam. Dari sebuah parti yang mengkafirkan orang UMNO kerana bekerjsama dengan bukan Islam, yang menolak IFC, menolak murtad kepada parti yang bersengkongkol dengan DAP dan sanggup menurut telunjuk DAP. Pas yang dulunya ingin menutup pusat arak, judi dan maksiat kepada sebuah parti yang membenarkan pusat-pusat tersebut beroperasi.

Malah Dr. Hasan Ali sudah mendakwa dalam DUN Selangor, bahawa Pas hari ini memperjuangkan kesamarataan antara agama. Boleh dikatakan Pas hari ini sudah menjadi sebuah parti Islam liberal yang telah menguburkan segala prinsip perjuangan negara Islamnya.PKR pula ditubuhkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim atas asas untuk menarik mereka yang tidak setuju dengan Pas dan UMNO. Bolehlah dikatakan bahawa parti ini parti oportunis liberal. Mereka hanya menarik sesiapa sahaja orang Melayu yang tidak berpuas hati dengan UMNO dan Pas tanpa apa-apa agenda khusus untuk orang Melayu.Parti ini juga bolehlah dikatakan menggunakan pendekatan popular untuk menarik sokongan hingga menyebabkan ia tidak mempunyai prinsip perjuangan yang jelas. Parti seperti ini tidak akan dapat bertahan lama dalam negara kita.

Datuk Onn Jaafar telah mencuba pendekatan Anwar melalui IMP dan akhirnya gagal bertahan lama.Persimpangan terbesar orang Melayu pastinya di dalam UMNO.Kelompok pertama ingin UMNO terus kekal sebagai sebuah parti yang moderate memperjuangkan hak-hak orang Melayu, kedudukan agama Islam, bahasa Melayu dan Sultan Melayu dikekalkan dalam status quo sedia ada. Bagi kumpulan ini keadilan mengakari perjuangannya, iaitu meletakkan yang hak ditempatnya terutama yang membabitkan kepentingan agama Islam dan orang Melayu.Manakala kumpulan kedua melihat UMNO perlu berubah dengan lebih terbuka melepaskan beberapa kepentingan Melayu demi mendapat sokongan yang lebih banyak dalam pilihan raya akan datang. Sungguhpun teori menjadi liberal ini akan membantu menarik kembali sokongan belum ada bukti sahih, namun sudah terdapat pemimpin UMNO yang mempercayainya.

Suara-suara mendesak liberalisasi dalam UMNO sudah kedengaran.Seperti biasa bila wujud suara liberal akan muncul kumpulan ektremis atau ultra. Kumpulan ini sudah menuntut lebih banyak hak orang Melayu dikembalikan semula. Sudah ada suara mahu bahasa Malaysia kembali ditukar kepada bahasa Melayu, sistem kuota di universiti di kembalikan. Malahan ada juga yang sudah mendesak kerajaan turut mengkaji mewujudkan sistem kuota pekerja mengikut peratusan kaum di syarikat swasta, Pada hemat saya, orang Melayu perlu mengekalkan suara moderate atau sederhana seperti UMNO hari ini. Melayu yang ultra bukan sahaja tidak membantu perkembangan kemajuan negara, malah akan terus melemahkan kuasa Melayu. Ini kerana ramai golongan terpelajar Melayu sendiri tampaknya tidak lagi menerima idea-idea eksterim ini.Manakala idea Melayu liberal yang terbuka ini sungguhpun tampak idealis tetapi tidak akan mendatangkan keadilan dalam masyarakat majmuk seperti negara kita.Ketika Melayu menjadi liberal, saya percaya akan muncul kumpulan-kumpulan ultra bangsa lain seperti Hindraf dan Dong Jia Zhong. Mereka mahukan orang Melayu menjadi liberal tetapi mereka sendiri bergerak ke arah ultra.

Hindraf misalnya memperjuangkan kedudukan kaum India sehingga memfitnah orang melayu melakukan penghapusan etnik. Manakala Dong Jia Zhong pula menolak usaha kerajaan mewujudkan Sekolah Wawasan. Apakah tindakan dua kumpulan ini bukan bercorak ultra? Apakah kemenangan DAP bukan merupakan kemenangan berunsur perjuangan ultra Cina?Jika Melayu menjadi liberal saya percaya banyak lagi kepentingan Melayu akan dikorbankan. Apakah hanya kerana mahu menang dalam pilihan raya maka kita mahu memperjudikan nasib anak bangsa kita akan datang?Liberal memperjuangkan kesamarataan. Kesamarataan bukan keadilan. Kesamarataan hanyalah agenda kapitalis yang tidak berhati perut yang mahu melihat yang lemah terus tertinggal dan yang kuat terus menguasai yang lemah.

Mereka juga menyokong idea tiada perbezaan antara agama yang bertentangan dengan akidah orang Islam; yang jelas memperkatakan bahawa Islam adalah agama tauhid yang mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah s.w.t. Islam sebenarnya menolak kesamarataan tetapi menegakkan keadilan, yang mana meletakkan agama Islam di tempat yang tinggi dengan membenarkan agama lain dianuti oleh umat lain.Inilah asas perjuangan orang Melayu yang moderate. Kami hanya mahu memastikan keadilan dilaksana dan terlaksana. Keadilan di sini ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya atau memberi sesuatu kepada yang berhak. Misalnya keadilan dalam konteks Malaysia ialah mengekalkan hak-hak orang Melayu, agama Islam, Sultan Melayu dan Bahasa Melayu seperti yang dipersetujui semasa kemerdekaan. Dalam masa yang sama, Melayu moderate akan memastikan hak-hak orang bukan Melayu yang janji akan terus kekal.

Ini termasuk memperakui kewarganegaraan mereka, hak mereka untuk mengundi, berniaga, mendapat pendidikan dalam bahasa ibunda masing-masing, dan mengamalkan kepercayaan dan adat resam masing-masing.Bagi saya UMNO mesti kekal di landasan moderate yang berjuang menegakkan keadilan, menolak kesamarataan kerana jika UMNO berubah kepada lebih liberal, saya bimbang kaum lain tidak akan berbuat perkara yang sama dan akhirnya UMNO akan dilihat lebih banyak memberi apa yang orang Melayu miliki kepada bangsa lain.Bagi saya, bangsa lain juga perlu mengorbankan kepentingan kaumnya bukan sahaja UMNO. Jika perpaduan nasional dan juga kesamarataan menjadi pilihan, bangsa lain perlu sanggup mengorbankan sistem pendidikan mereka seperti yang berlaku di negara Singapura. Jika tidak tiada sebab mengapa UMNO harus bergerak daripada moderate kepada perjuangan yang lebih liberal.Kesilapan memilih jalan di tiga persimpangan ini akan menyebabkan UMNO tidak akan relevan kepada orang Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya.Politik perkauman tidak akan dapat dileraikan dalam negara berbilang kaum yang mengamalkan perbezaan agama, budaya dan bahasa.

Yang pentingnya bagaimana kita mencari persamaan di celah-celah perbezaan. Kerana persamaan itu akan membuahkan hasil ke arah pembentukan negara bangsa maju.Jangan sampai UMNO berkorban dan terkorban kerana hanya memenuhi tuntutan bangsa lain. Takut nanti jadi seperti habis madu sepah dibuang; yang dikejar hilang entah di mana, yang dikendong bertaburan dipungut orang.

PERJUANGAN AGAMA UMNO

UMNO berjuang, semenjak penubuhannya, untuk menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, serta menghormati prinsip kebebasan beragama. Tujuan ini termaktub bukan sahaja dalam Perlembagaan UMNO tapi juga dimuatkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan kemudannya Perlembagaan Malaysia.
Malaysia adalah satu-satunya Negara berdaulat yang berani dan bersedia menyatakan dalam Perlembagaan bahawa Islam adalah agama rasminya. Berbagai-bagai langkah dan tindakan telah dilakukan bagi meninggikan syiar Islam, dan ini terbukti dari kejayaan yang tercapai dalam bidang pendidikan, ekonomi, social dan membina masjid-masjid. Bagi kemudahan beribadah, masjid-masjid dan surau-surau dibina di setiap pelusuk Negara.
Bidang Pendidikan
Dasar Pelajaran Kebangsaan yang dipelopori oleh UMNO membolehkan murid-murid yang beragama Islam mempelajari matapelajaran agama Islam di sekolah-sekolah biasa berbanding dengan kedudukan sebelumnya yang mana pendidikan agama hanya diperolehi secara sambilan dan sendirian atau di sekolah-sekolah pondok dan Arab yang umumnya tidak begitu teratur.
Selain dari sekolah biasa, beberapa institusi pendidikan Islam telah diwujudkan seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Maktab Perguruan Islam, Pusat Pengajian Tinggi Islam, Akademi Islam Universiti Malaya, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa.
Pembelajaran agama Islam tidak terbatas kepada pendidikan yang ada dalam negeri sahaja. Tiap-tiap tahun Malaysia menghantar ramai pelajar ke institusi pelajaran tinggi di seluruh dunia untuk mengikuti kuliah dalam bidang agama Islam.
Usaha memperkenal dan mengembangkan syiar Islam juga dilakukan oleh badan-badan seperti berikut:
-Lembaga Urusan Tabung Haji-Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia -Persatuan Kebajikan Islam (PERKIM)-Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)-Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC)-Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)-Pusat Islam Malaysia-Persatuan Ulama Malaysia
Bidang Ekonomi
Usaha menerapkan unsure-unsur Islam dengan baik walaupun perlahan-lahan. Penduduk Malaysia, khususnya yang beragama Islam, kini mempunyai pilihan untuk menjalankan aktiviti ekonomi melalui system dan cara Islam.
Dalam bidang kewangan, Bank Islam Malaysia Berhad telah ditubuhkan bagi membolehkan umat Islam memilih sistem perbankan yang mereka senangi. Begitu juga dalam bidang insurans yang sekarang ini boleh diperolehi melalui Syarikat Takaful.
Bidang Antarabangsa
Semenjak negara merdeka, umat Islam serata dunia mengenal Persekutuan Tanah Melayu dan kemudianya Malaysia kerana usahanya menanjur musabaqah al-Quran antarabangsa setiap tahun. Ramai qari dan qariah dari negara-negara Islam menyertai musabaqah dan kemudiannya tilawah al-Quran. Acara ini disiarkan secara langsung melalui televisyen ke seluruh Negara Islam.
Bila Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) diwujudkan, Presiden UMNO yang kedua dan bekas Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj telah dilantik menjadi Setiausaha Agung pertamanya, satu penghormatan untuk UMNO dan Negara. Malaysia juga memainkan peranan yang penting dan berkesan dalam siding-sidang antarabangsa dalam hal-hal bersangkut dengan Islam

PERJUANGAN POLITIK UMNO

UMNO lahir atas kesedaran dan kehendak para perwakilan yang menghadiri Kongres Melayu Se-Malaya yang pertama pada 1 – 4 Mac 1946.
Selepas Kerajaan Jepun menyerah kalah pada 14 Ogos 1945, kerajaan British telah menghantar bala tenteranya untuk menguasai semula Semenanjung Tanah Melayu, dan serentak membawa perubahan redikal terhadap pemerintahan negeri-negeri Melayu. Melalui tipu hela, Raja-raja Melayu telah dipengaruhi supaya menandatangani perjanjian dengan Harold MacMicheal bagi menyerahkan kuasa pemerintahan serta kedaulatan kepada Kerajaan British. Negeri-negeri Melayu bersama Melaka dan Pulau Pinang disatukan di bawah Kesatuan Malaya atau Malayan Union dan ditadbirkan sebagai jajahan takluk British.
Apabila cara pemerintahan baru di Semenanjung Tanah Melayu diumumkan di Parlimen British pada 10 Oktober 1945, maka orang-orang Melayu dari Perlis ke Singapura, melalui persatuan masing-masing, berkumpul dan bersuara membantah penubuhan Malayan Union. Satu perhimpunan besar-besaran yang pertama telah diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946.
Ketetapan yang telah dipersetujui di Kongres tersebut adalah:
1. Menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO2. Membantah Penubuhan Malayan Union3. Mengadakan Derma Pelajaran Kebangsaan Melayu
Suatu Jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menyediakan Piagam atau Perlembagaan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar) atau UMNO, dan Perlembagaan itu telah diterima oleh perhimpunan yang bersidang di Johor Bahru pada 11 Mei 1946 dan pada tarikh tersebut UMNO selamat dilahirkan dengan rasminya.
Perjuangan UMNO yang pertama adalah membangkang penubuhan Malayan Union. Melalui akhbar-akhbar seperti Utusan Melayu dan Majlis, suara orang Melayu menentang Malayan Union dapat diketahui. Pemimpin UMNO berjaya menasihatkan Sultan-sultan melayu supaya tidak menghadiri upacara perlantikan Gabenor Malayan Union yang pertama, Edward Gent, dan secara simbolik memanifestasikan kemarahan dan bangkangan orang-orang Melayu terhadap Malayan Union.
Dua bulan selepas wujudnya Malayan Union, Kerajaan British telah mengubah pendirian dan bersedia mengadakan perbincangan dengan wakil-wakil UMNO dan Sultan-sultan bagi mewujudkan satu kerajaan persekutuan baru. Rundingan ini berlangsung hingga 21 Januari 1948 apabila Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani oleh Raja-raja Melayu dengan wakil kerajaan British yang mengembalikan semula kuasa-kuasa dan kedaulatan Sultan-sultan. Secara rasmi Persekutuan Tanah Melayu dilahirkan pada 1 Februari 1948.
Kerajaan Persekutuan Tanah Malayu ditadbir oleh Pesuruhjaya Tinggi dan dibantu oleh beberapa ahli Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan termasuk Yang Di Pertua UMNO, Dato Onn bin Jaafar yang telah diberi tanggunjawab sebagai Ahli (Member) Hal Ehwal Dalam Negeri. Semasa memegang jawatan itu, Dato Onn telah menubuhkan Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan atau Rural and Industrial Development Authority (RIDA) yang bertujuan membantu orang-orang Melayu mencebur dalam bidang perusahaan. Pemerintahan di peringkat Negeri pula adalah di bawah kuasa Menteri Besar dibantu oleh Penasihat British.
Pada bulan Jun 1948 pengganas dari parti Komunis Malaya telah melakukan pembunuhan liar dan pembinasaan terhadap harta awam dan persendirian menyebabkan Kerajaan Persekutuan mengisytihar Darurat pada 16 Jun 1948. Bagi menghadapi ancaman komunis ini, UMNO telah menggembelingkan tenaga orang Melayu lelaki dan perempuan supaya menyertai pasukan bersenjata termasuk polis khas dan pengawal kampong.
Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu mengandungi peruntukan berkenaan pilihanraya umum bagi membolehkan rakyat memilih wakil-wakil mereka ke Dewan Perundangan dan seterusnya memerintah sendiri sebagai negara merdeka.
Langkah pertama yang dilakukan oleh UMNO adalah berkerjasama dengan Persatuan Cina Malaya (MCA) bagi merebut kerusi pilihanraya majlis tempatan, iaitu Majlis Munisipal Kuala Lumpur pada tahun 1951. Kerjasama ini telah membawa kejayaan cermerlang dan dengan sokongan yang diberi kemudian oleh Kongres India Malaya (MIC) maka satu gabungan parti yang diberi nama Perikatan (Alliance) telah ditubuh bagi menghadapi pilihanraya umum yang pertama pada 27 Julai 1955 yang berkesudahan dengan Parti Perikatan memenangi 51 daripada 52 kerusi bagi Majlis Perundangan Persekutuan. Yang diPertua UMNO, Tunku Abdul Rahman Putra telah dilantik menjadi Ketua Menteri dan Menterinya terdiri dari wakil rakyat yang dipilih dan juga pegawai pentadbir British yang dilantik oleh Pesuruhjaya Tinggi.
Dengan kejayaan cermerlang yang dicapai oleh Parti Perikatan, dalam pilihanraya 1955, UMNO terus berazam untuk mendapatkan kemerdekaan penuh. Rundingan demi rundingan telah diadakan di London di antara wakil-wakil Perikatan yang diketuai oleh Yang DiPertua UMNO, Tunku Abdul Rahman Putra, wakil-wakil Raja-raja Melayu dan wakil-wakil Kerajaan British dan akhirnya persetujuan telah tercapai bagi kemerdekaan Tanah Melayu sebagai Negara yang merdeka dan berdaulat mulai pada 31 Ogos 1957.
Pada 27 Mei 1961 Tunku telah mencadangkan supaya ditubuhkan Melayu Raya dengan merangkumi, Borneo Utara (Sabah), Brunei, Sarawak dan Singapura dan konsep ini diterima baik oleh hampir semua pihak. Suruhanjaya peninjau (Cobbold Commission) dan penyiasat dari Bangsa-bangsa Bersatu telah membuat laporan positif dan setelah diadakan rundingan dengan pihak-pihak yang terlibat, maka Negara Malaysia yang terdiri dari Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura wujud dengan rasminya pada 16 September 1963. Singapura keluar dari Malaysia hamper dua tahun kemudian dan menjadi sebuah Rupublik pada 9 Ogos 1965.Sebagai Negara merdeka dan berdaulat, UMNO menjadi tulang belakang dalam Kerajaan Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional, dan tidak putus-putus bergerak untuk mengisi makna kemerdekaan.
Usaha membangunkan negara dalam semua bidang dimulakan dengan wujudnya Rancangan Pembangunan Jangkapanjang dan Rancangan pembangunan bagi tiap-tiap lima tahun bermula dengan Rancangan Malaya Pertama (1956-60) hinggalah Rancangan Malaysia Ke-7 bagi 1996-2000.
Tujuan utama Rancangan pembangunan negara adalah, di antara lain, meningkatkan taraf politik dan sosio-ekonomi rakyat, menentukan kesalamatan rakyat dari ancaman musuh baik dari dalam atau luar negari, memperkembangkan ekonomi negara dan menyediakan prasarana yang berkesan.
Pilihanraya umum bagi memilih wakil rakyat untuk Dewan Perundangan Persekutuan telah diadakan pada tahun 1955 dan untuk Dewan Rakyat pada tahun 1959, 1964, 1969, 1974, 1978, 1982, 1986, 1990 dan 1995.
Pilihanraya juga diadakan bagi memilih ahli untuk Dewan-dewan Undangan Negeri.
Parti Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional telah menang dengan cemerlang setiap kali diadakan pilihanraya Persekutuan dan berjaya memegang teraju pemerintahan berturut-turut semenjak 195Parti Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional telah menang dengan cermerlang setiap kali diadakan pilihanraya Persekutuan dan berjaya memegang teraju pemerintahan berturut-turut semenjak 1955. Kejayaan ini adalah disebabkan oleh keazaman pimpinan dan anggota UMNO dan sokongan rakyat jelata umumnya terhadap dasar dan program yang disediakan oleh UMNO dan rakan-rakannya.
Ahli-ahli UMNO sebagai pengamal dan penyokong demokrasi, memilih pemimpin mereka di peringkat Cawangan, Bahagian dan Majlis Tertinggi dan persidangan perhimpunan agong juga diadakan tiap-tiap tahun bagi membolehkan ahli-ahli mengetahui perjalanan parti, menentukan dasar-dasar dan mengesan pembangunan negara.

sejarah penubuhan umno

Satu himpunan besar-besaran yang dikenali sebagai Kongres Melayu Se-Malaya pertama telah diatur oleh Persatuan Melayu Selangor di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baharu, Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946 dan seramai 41 Pertubuhan-pertubuhan Melayu telah menghantar wakil masing-masing.
Dato’ Onn bin Jaafar dari Persatuan Melayu Johor telah dipilih sebagai Pengerusi Kongres. Hampir semua wakil pertubuhan telah berucap termasuk dua orang wakil kanak-kanak.
Tiga usul telah dululuskan oleh Kongres seperti berikut:1. Menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu2. Membantah pertubuhan Malayan Union 3. Mengadakan Derma Pelajaran Kebangsaan Melayu
Satu jawatankuasa yang terdiri dari Dato’ Onn Jaafar, Dato’ Panglima Bukit Gantang, Dato’ Nik Ahmad Kamil, Dato’ Hamzah Abdullah dan Encik Zainal Abidin Ahmad (Zaaba) telah dipilih untuk menyediakan draf Piagam atau Perlembagaan UMNO untuk dibentangkan dan diterima oleh Kongres Melayu Se-Malaya kelak.
Walaupun ada bangkangan yang hebat dari kaum Melayu, Kerajaan British tetap meneruskan rancangan mereka dan pada 1 April 1946 mengwujudkan Malayan Union. Orang-orang Melayu dan pertubuhan-pertubuhan Melayu terus membangkang dan tidak memberi sebarang sokongan terhadap Malayan Union. Pada 11 Mei 1946 di Istana Besar Johor Bahru. Kongres Melayu Se-Malaya ketiga dan perhimpunan agung pertama Pertubuhan Melayu Kebangsaan Melayu Bersatu atau PEKEMBAR (UMNO) telah berlangsung dan Piagam atau Perlembagaan (UMNO) telah diterima dan diluluskan oleh para peserta dan UMNO pun lahirlah secara rasmi.