Selasa, Ogos 31, 2010

Ingat sebelum nasi jadi bubur…pencerobohan mungkin bermula dari sebuah surau – titah Raja Nazrin

Mesej Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah ini cukup jelas dan mudah difahami.Ia boleh dilihat dalam konteks berbagai polimek politik yang melanda negara sekarang.Baginda tidak berselindung dalammengingatkan umat Islam di negara ini agar tidak terbawa dalam persaingan mengejar pengaruh hingga ‘ membuka laluan’ membolehkan bukan Islam melakukan pencerobohan dan kemusnahan.

"Pencerobohan besar bermula dari perbuatan kecil. Ia mungkin bermula dari sebuah surau, atau sebuah madrasah, atau sebuah masjid atau sebuah mimbar,” titah baginda

Baginda bimbang jika dalam menghadapi pencerobohan kecil, umat Islam masih belum insaf, masih berdegil dan masih sombong mempertahankan ego, masih memilih untuk bertelagah, maka umat Islam sebenarnya telah memberikan petanda yang salah; petanda seolah-olah menggalakkan pencerobohan lebih besar.

Menurut baginda, penderitaan dan penghinaan yang menimpa sebahagian umat Islam di dunia terutama contoh-contoh ketara di Palestin, Afghanistan dan Iraq, bermula dari pemesongan yang berlaku di kalangan pemimpin hingga mereka sendiri membuka laluan yang membolehkan bukan Islam melakukan pencerobohan dan kemusnahan.

Serentak dengan itu Raja Nazrin menyifatkan pemimpin Islam yang memilih untuk bertelagah dan bersaing mencari pengaruh, sehingga tergamak melakukan perkara-perkara ekstrem yang mencemar agama dan maruah ummah, sebagai golongan yang telah menyimpang dari prinsip asas Islam.

Ini kerana prinsip asas Islam sentiasa menyeru kepada perpaduan ummah, titah baginda sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPeim) peringkat negeri serta sumbangan Aidilfitri Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK) di IpohIsnin.

"Umat Islam di negara ini kini berada dalam suasana kritikal, bagaikan tenggelam punca, bagaikan bersedia berpaut kepada apa sahaja yang dapat dicapai untuk terus timbul dalam arus yang mungkin membawa mereka menuju kepada penghujung yang amat membimbangkan," titah baginda.

Umat Islam wajib mengambil pengajaran sebelum nasi menjadi bubur, tegas baginda.

"Ingatlah! Sedarilah! Insaflah! ketika umat Islam jatuh dan menjadi lemah, janganlah diharap ada pihak yang akan bersimpati untuk membela nasib mereka. Masa hadapan dan penentuan nasib umat Islam berada di tangan umat Islam. Selagi umat Islam kekal bersatu dan teguh berpadu, tidak ada pihak yang boleh meruntuh atau menjatuhkannya.

Kejatuhan umat akan berlaku apabila umat memilih untuk tidak bersatu malah saban hari terus menghakiskan kekuatan di antara satu sama lain," titah baginda.

Baginda bertitah jika para pemimpin di peringkat tertinggi organisasi memperlihatkan contoh teladan bersefahaman, saling membantu dan saling bekerjasama, pengikut di bawah tentunya akan dapat bertaut erat.

"Bahawa pemikiran, perkataan dan tindak laku pemimpin itu akan dijadikan teladan ikutan dan menjadi penentu arah kepada pengikut, kerana itu, jika pemimpin bertelagah maka pengikut akan turut berpecah," titah Raja Nazrin.

"Berbahagialah ummah, jika barisan pemimpin Islam dan organisasi berteraskan Islam senantiasa berusaha menjalinkan semangat persefahaman serta senantiasa bergerak ke arah membina jambatan kerjasama; tentunya pemikiran, tenaga dan sumber umat Islam akan menjadi lebih produktif dan ukhuwah di kalangan ummah akan menjadi lebih teguh," titah baginda.

Raja Nazrin turut mengingatkan para pemimpin bahawa selagi golongan fakir miskin wujud di negara ini, mereka masih berdepan cabaran dan tanggungjawab besar untuk memastikan pengagihan sumber kekayaan negara berlaku secara adil dan saksama.

"Kewujudan fakir miskin harus juga menginsafkan warga yang telah hidup senang, warga yang telah mendapat banyak nikmat serta kemudahan, untuk tidak bersifat tamak, bernafsu membolot seluruh kekayaan tanpa menghiraukan penderitaan golongan yang masih miskin dan susah.

Usaha membantu fakir miskin - usaha membasmi kemiskinan adalah satu jihad. Agihan pendapatan yang lebih saksama merupakan satu kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh para pemimpin yang memegang amanah pemerintahan," titahnya.

Baginda bertitah keadilan sejati masih belum tercapai sepenuhnya selagi agihan kekayaan yang saksama tidak dapat dipenuhi, sehingga menyebabkan jurang pendapatan yang ketara antara orang miskin dan kaya.

"Apatah lagi jika cara kekayaan terhimpun kepada kumpulan tertentu yang diperoleh melalui pemberian yang tidak mematuhi amalan pengurusan yang telus lagi teratur, titah baginda.

Selasa, Ogos 17, 2010

MCA Masih Tidak Memahami Aspirasi Rakyat- Dr Khir Toyo




1. Isu Dasar Ekonomi Baru (DEB) masih terus
diperkatakan dan dijadikan alat politik perkauman biarpun secara
umumnya ia bukan masalah kepada sebahagian besar rakyat Malaysia.

2. Kaum bumiputera sebagai penduduk asal dan majoriti di negara ini
yang berjumlah hampir 70% penduduk Malaysia hanya menguasai 19% ekuiti
perniagaan dalam negara ini. Selebihnya dikuasai oleh bukan bumi dan
orang asing. Kaum bukan Bumi menguasai 44%, bukan warganegara sebanyak
30% dan selebihnya ialah syarikat Nominee.

3. Jadi mengapa dipersoalkan sedikit keistimewaan bumiputera sedangkan
ia tidak pun menjejaskan kekuatan ekonomi kaum Cina. Bacalah pandangan Tan Sri Liew Kee Sin
yang dalam kongres yang sama. Apakah dengan wujudnya dasar pro
bumiputera sejak 1970 hingga sekarang orang Cina menjadi semakin miskin
atau semakin kaya?

4. Jawapannya adalah dalam pengetahuan umum sama ada secara statistik
mahu pun pandangan kasar. Senarai pemilikan hartanah komersial juga
menunjukkan kaum Cina menguasai hampir 70%. Justeru permintaan 30%
ekuiti Bumi bukanlah sesuatu yang sangat besar sehingga dianggap
menekan dan menindas kaum bukan Bumi.

5. Dalam konteks inilah saya melihat pandangan Presiden MCA, Datuk Seri
Chua Soi Lek bahawa rakyat mempertikaikan penguasaan Bumiputera dalam
penerimaan kontrak kerajaan terutama dalam bidang binaan sebagai tidak
rasional dan tidak menemui kehendak rakyat yang sebenar.

6. Perbincangan mengenai kontrak dan tender kerajaan serta industri
pembinaan merupakan perbincangan yang tidak memberi faedah besar kepada
negara. Bidang pembinaan terutamanya membabitkan kontrak kerajaan
merupakan industri yang sedang menguncup (shrinking industries).

7. Kenyataan Dr. Chua mengenai kontraktor kelas F bumiputera juga
sangat tidak wajar. Berdasarkan pengalaman sebagai Menteri Besar, saya
percaya hampir 90% kontraktor kelas F adalah kontraktor tulen. Bukankah
aneh untuk Presiden MCA membicara perkara yang sangat kecil iaitu
projek-projek kelas F?

8. Selain itu, sungguhpun kebanyakan kontraktor yang mendapat kontrak
kerajaan ialah kaum bumiputera kebanyakan pembekal dan pemborong
dikuasai oleh kaum bukan bumi terutamanya kaum Cina. Hampir 1/3 kos
projek kerajaan telah pun dikuasai oleh kaum Cina. Jika kaum Cina juga
memonopoli kontrak kerajaan bermakna agihan ekonomi yang adil itu sudah
tidak berlaku.

9. Kongres Ekonomi Cina sepatutnya mencari jalan bagaimana untuk
membesarkan peluang ekonomi terutamanya dalam sektor perkhidmatan
(services industry) dan industri pembuatan yang sekarang ini banyak
dikuasai oleh syarikat antarabangsa. Alangkah baiknya jika Kongres
Ekonomi Cina turut membincangkan bagaimana mahu membantu kaum
bumiputera yang masih tertinggal untuk turut menikmati kemakmuran
negara ini terutamanya dalam bidang yang dimonopoli oleh kaum Cina.

10. Sebenarnya apa yang Presiden MCA nyatakan tersebut ialah isu-isu di
kalangan ahli perniagaan Cina bukannya suara rakyat banyak. Justeru MCA
harus berfikir sama ada ia mahu terus menjadi parti ahli perniagaan
Cina semata-mata atau menjadi parti kaum Cina keseluruhannya.

11. Bagi majoriti rakyat di bawah tanpa mengira kaum, isu kos sara
hidup, peluang pekerjaan, pendidikan dan pendapatan yang kebih tinggi
merupakan agenda utama sekarang ini. Peningkatan harga barang,
pengangkutan, dan gas memasak telah meningkatkan kos sara hidup hari
ini sedangkan tiada indikator jelas kenaikan gaji terutamanya di sektor
swasta. Memandangkan kebanyakan rakyat membeli rumah secara pinjaman,
kenaikan kadar pinjaman asas turut menyempitkan lagi poket mereka.

12. Sejak pelaksanaan rasionalisasi subsidi ini rungutan semakin banyak
mengenai kenaikan harga barangan keperluan harian termasuk gas untuk
memasak. Dan siapakah pemimpin BN yang bercakap secara serius masalah
ini?Bagaimanakah Barisan Nasional sebagai parti pemerintah mahu
menyelesaikannya?

13. Inilah perkara-perkara asas yang MCA sebagai parti pro perniagaan perlu membantu kerajaan mencari jalan penyelesaian.

14. Datuk Seri Chua Soi Lek merupakan ahli politik yang berpengalaman
dan sangat efisyen dalam membawa perubahan kepada Kementerian Kesihatan
ketika beliau menjadi Menteri Kesihatan. Sebagai seorang yang pernah
dalam bidang perkhidmatan kesihatan kerajaan, saya fikir Dr. Chua
seorang Menteri Kesihatan terbaik yang pernah dimiliki oleh negara ini.

15. Justeru saya berharap, sebagai seorang Presiden parti komponen BN,
Dr. Chua harus memahami aspirasi rakyat bawah seperti mana beliau
melihat Kementerian Kesihatan dari kaca mata rakyat bawahan suatu
ketika dahulu


Isnin, Ogos 16, 2010

Tapak Baru Kilang Arak : Satu Penghinaan Kepada Umat Islam!

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kesal tindakan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad (pas) yang menawarkan kawasan baru di Pelabuhan Klang, Selangor kepada sebuah syarikat pengeluar minuman keras untuk memperbesarkan perusahaan mereka.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Ma
’amor Othman berkata, apa yang dilakukan Yang Dipertua Pas Shah Alam itu merupakan satu penghinaan kepada umat Islam dan orang Melayu di negara ini.

Menurut beliau, ia jelas memperlihatkan Pas sanggup mempertaruhkan kesucian agama untuk mendapatkan sokongan terutama di kalangan orang bukan Islam.

Secara sinis beliau mengucapkan tahniah kepada Khalid kerana sebagai seorang Melayu yang beragama Islam, beliau mempelawa kilang pengeluar minuman keras itu untuk memperbesarkan perniagaan dengan menawarkan kawasan baru yang lebih luas.

“Jarang anak Melayu menawarkan tanah kepada syarikat minuman keras. Ini suatu pembaharuan yang dibuat oleh Pas untuk mendapatkan sokongan bukan Islam,”

Khalid di dalam blognya berkata: “Saya bertanya sama ada pihak kilang mempunyai apa-apa rancangan extension atau pembesaran dan sama ada rancangan itu mungkin terlaksana di tapak itu atau memerlukan tapak yang lebih luas.

“Saya menyebut bahawa sekiranya tapak yang lebih luas diperlukan, maka kemungkinan satu tapak di Pelabuhan Klang, memandangkan 100 peratus bahan keperluan malt diimport dan 50 peratus bahan keluaran dieksport, boleh diusahakan.”

Mengulas lanjut Ma’amor berkata, kenyataan Khalid berhubung tawaran itu menimbulkan kesangsian dan mengetepikan perjuangan Pas yang mengatakan ia memperjuangkan Islam di negara ini.

Malah, menurutnya, tindak-tanduk yang dilakukan oleh pemimpin Pas sejak kebelakangan ini menunjukkan bahawa mereka cuba menarik sokongan di kalangan pengundi bukan Melayu.

Katanya, Khalid sepatutnya mencari jalan penyelesaian untuk menangani masalah pekerja Islam yang bekerja di kilang berkenaan dan bukannya menawarkan kawasan untuk syarikat itu meluaskan perniagaan.

“Apa yang patut dilakukan oleh Khalid adalah mencari jalan membantu nasib pekerja Islam, cari jalan bagaimana hendak bantu mereka dan kalau boleh carikan kerja baru.

“Ini lain pula yang berlaku. Kenyataan Khalid lebih untuk mendapatkan publisiti, cuba mendapatkan sokongan orang bukan Islam untuk buktikan Pas bukanlah parti untuk sesuatu kaum tapi semua. Pas sekarang sudah berubah hanya kerana memastikan survival politiknya,” tambahnya.

Komen : Kalau nama atau khalimah Allah pun Khalid boleh jual kepada puak Kristian, inikan pula kilang arak?

Isnin, Ogos 09, 2010

PAS dicabar desak tutup pusat hiburan di S'gor

Umno mencabar PAS mendesak kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menutup pusat hiburan dalam bulan Ramadan.

"Kalau nak tegakkan amar makruf nahi mungkar, ayuh jadilah anak jantan. Saya cabar PAS," kata timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar.

"Kalau tak mampu, Pemuda Umno bersama-sama dengan Umno negeri bersedia untuk mendesak kerajaan negeri menutup pusat hiburan di bulan Ramadhan," katanya disambut tepukan hadiran ceramah jelajah 'Gelombang Selamatkan Selangor' malam tadi.

Noh yang juga ahli parlimen Tanjung Karang mendakwa tindakan Pakatan Rakyat menyalahkan BN kerana tidak menutup sewaktu parti itu memerintah adalah satu tindakan melarikan diri daripada tanggungjawab.

Setelah tiga minggu berlangsungnya siri jelajah tersebut - Noh, ketua pembangkang DUN Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan bekas ketua Angkatan Muda PKR Ezam Mohd Noor berkongsi ceramah malam tadi.

Malaysiakini
difahamkan daripada 19 ceramah yang diadakan di 22 bahagian di negeri itu, ketiga-tiga pemimpin tersebut 'bersatu' di atas satu pentas dalam usaha untuk 'menyelamatkan' Selangor dan merampas semula dari tangan Pakatan Rakyat.

Ketiga-tiga tokoh tersebut adalah Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar, ketua pembangkang DUN Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan bekas ketua Angkatan Muda PKR Ezam Mohd Noor.

Malah bagi menggambarkan kebersamaan mereka, Ezam dalam ucapannya menafikan laporan portal berita seperti Malaysiakini yang didakwa cuba melaga-lagakan beliau dengan dua pemimpin Umno itu.

"Mereka (portal berita itu) tidak kenal saya. Saya adalah kenalan rapat dengan Datuk Seri Noh dan Datuk Seri Mohd Khir.

"Mereka tidak boleh pecah-pecahkan semangat kami," katanya di hadapan lebih 300 hadirin, termasuk penyokong parti komponen BN.