Selasa, Januari 27, 2009

Selamat Tahun Baru Cina - Tahun Lembu, Isu Lembu

1. Selamat tahun baru kepada rakan-rakan dari kaum Tionghua. Saya berharap saudara/i dapat menyambut kedatangan tahun Lembu ini dengan suasana yang menggembirakan biarpun prospek ekonomi dunia tidaklah begitu baik. Sifat positif dan berkeyakinan amat diperlukan dalam menghadapi kelembapan ekonomi dunia hari ini.

2. Nampaknya kita menyambut tahun Lembu tahun ini dengan isu lembu. Saya tahu ada pihak yang tidak gembira apabila saya mendedahkan isu lembu korban anak-anak syarikat kerajaan negeri kepada surau dan Masjid dalam Parlimen Tun Razak.

3. Keuntungan anak-anak syarikat kerajaan negeri Selangor seharusnya disalurkan semula ke dalam negeri Selangor. Tindakan Tan Sri Khalid meminta PKNS membiayai program sedekah lembu korbannya untuk surau dan masjid Parlimen Bandar Tun Razak bukan sahaja tidak wajar, malah mencetuskan tanda tanya mengenai isu salah guna kuasa seperti yang didakwa oleh GERAK dalam laporannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

4. Sebenarnya saya tidak perlu mendedahkan surat tersebut jika Tan Sri Khalid Ibrahim tidak menafikannya pada peringkat awal. Tan Sri Khalid dalam beberapa kenyataan sebelumnya menafikan pengetahuan beliau mahu pun pembabitan beliau dalam isu tersebut. Namun jelas dalam surat daripada Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar Selangor kepada Pengurus Besar PKNS bahawa terdapat "arahan" Tan Sri Khalid agar PKNS membiayai lembu korban tersebut. (sila lihat laman web PembangkangSelangor.com)

5. Sekiranya Tan Sri Khalid berpendapat Ketua Setiausaha Sulitnya mengeluarkan surat tersebut tanpa pengetahuan dan kebenarannya, maka tindakan tatatertib harus diambil ke atas pegawai terbabit. Namun melihat salinan surat yang dihantar kepada saya termasuk cop Tan Sri Khalid di muka surat senarai surau dan masjid yang akan mendapat sumbangannya, saya fikir jelas Tan Sri Khalid mengetahuinya.

6. Saya mendengar Tan Sri Khalid "mengugut" untuk mendedahkan perbelanjaan dan setiap tindakan saya ketika menjadi Menteri Besar dahulu. Tan Sri Khalid boleh melakukan apa sahaja yang beliau fikirkan baik kepada rakyat dan negeri Selangor. Namun jika beliau fikir dengan "ugutan" sedemikian akan menyebabkan saya tidak akan mendedahkan lagi kepincangan pentadbiran beliau, ia adalah satu kesilapan besar.

Dr Mohamad Khir Toyo