Jumaat, September 19, 2008

Mimpi Yang Tidak Menjadi Kenyataan

1. Jika beberapa minggu lalu saya dihentam kerana merendah-rendahkan cita-cita dan hasrat Datuk Seri Anwar membentuk kerajaan pada 16 september, dua hari lalu nyata bahawa kata-kata Anwar tidak lebih dari impian dan ilusi ciptaannya sendiri.

2. Jika sebelum ini Anwar sering dianggap sebagai pemimpin yang serba betul, 16 September menjadi titik sejarah bahawa segala retorik politik beliau tersingkap.

3. Saya merasa kasihan kerana Datuk Seri Anwar menambahkan bilangan ahli politik yang menjadi bahan lawak jenaka orang ramai. Saya berasa kasihan kepada beliau kerana sejak 16 September pelbagai jenaka seperti "Datuk Seri Anwar mengangkat sumpah dihadapan potret Yang Di Pertuan Agong," " Anwar telah mendapat 30 kerusi daripada Courts Mammoth dan ikea" dan pelbagai lagi jenaka sms yang termasuk jenaka lucah yang tidak sesuai disiarkan di sini.

4. Saya tidaklah menyalahkan mereka yang membuat lawak ke atas Datuk Seri Anwar sepenuhnya. Ini adalah respon balas kepada riuh rendah pertukaran kerajaan 16 September yang diuar-uarkan Anwar sejak sebulan lalu. Anwar melontarkan pelbagai janji termasuk pengambil alihan kepimpinan negara sehingga riuh rendah politik negara.

5. Politik negara kita sejak pasca pilihan raya umum lalu sudah menjadi semacam boria Pulau Pinang. Riuh rendah dengan madah, janji, sindiran dan harapan palsu. Satu tirai persembahan boria ini telah ditutup sebaik tenggelamnya matahari 16 September lalu.

6. Inilah peringatan kepada diri saya sendiri dan pemimpin politik lain agar tidak mudah berjanji jika sukar atau mustahil dilaksanakan.

7. Saya berharap selepas ini Datuk Seri Anwar berhenti menyanyikan lagu-lagu boria seperti ini kerana ia hanya menyukarkan lagi keadaan ekonomi negara dan mewujudkan ketidakstabilan politik dalam negara. Ekonomi negara sukar dimajukan jika keadaan politik negara tidak stabil akibat dari nyanyian-nyanyian boria menukar kerajaan yang sedia ada.

8. Sungguhpun sebagai pemimpin politik beliau boleh menaruh harapan menjadi Perdana Menteri, Namun janganlah terlalu taksub untuk menjadi Perdana Menteri sehingga merosakkan negara dan rakyat.

9. Cukuplah sekali memberi harapan palsu kepada penyokong sendiri.

Dr. Mohamad Khir Toyo