Selasa, Ogos 17, 2010

MCA Masih Tidak Memahami Aspirasi Rakyat- Dr Khir Toyo




1. Isu Dasar Ekonomi Baru (DEB) masih terus
diperkatakan dan dijadikan alat politik perkauman biarpun secara
umumnya ia bukan masalah kepada sebahagian besar rakyat Malaysia.

2. Kaum bumiputera sebagai penduduk asal dan majoriti di negara ini
yang berjumlah hampir 70% penduduk Malaysia hanya menguasai 19% ekuiti
perniagaan dalam negara ini. Selebihnya dikuasai oleh bukan bumi dan
orang asing. Kaum bukan Bumi menguasai 44%, bukan warganegara sebanyak
30% dan selebihnya ialah syarikat Nominee.

3. Jadi mengapa dipersoalkan sedikit keistimewaan bumiputera sedangkan
ia tidak pun menjejaskan kekuatan ekonomi kaum Cina. Bacalah pandangan Tan Sri Liew Kee Sin
yang dalam kongres yang sama. Apakah dengan wujudnya dasar pro
bumiputera sejak 1970 hingga sekarang orang Cina menjadi semakin miskin
atau semakin kaya?

4. Jawapannya adalah dalam pengetahuan umum sama ada secara statistik
mahu pun pandangan kasar. Senarai pemilikan hartanah komersial juga
menunjukkan kaum Cina menguasai hampir 70%. Justeru permintaan 30%
ekuiti Bumi bukanlah sesuatu yang sangat besar sehingga dianggap
menekan dan menindas kaum bukan Bumi.

5. Dalam konteks inilah saya melihat pandangan Presiden MCA, Datuk Seri
Chua Soi Lek bahawa rakyat mempertikaikan penguasaan Bumiputera dalam
penerimaan kontrak kerajaan terutama dalam bidang binaan sebagai tidak
rasional dan tidak menemui kehendak rakyat yang sebenar.

6. Perbincangan mengenai kontrak dan tender kerajaan serta industri
pembinaan merupakan perbincangan yang tidak memberi faedah besar kepada
negara. Bidang pembinaan terutamanya membabitkan kontrak kerajaan
merupakan industri yang sedang menguncup (shrinking industries).

7. Kenyataan Dr. Chua mengenai kontraktor kelas F bumiputera juga
sangat tidak wajar. Berdasarkan pengalaman sebagai Menteri Besar, saya
percaya hampir 90% kontraktor kelas F adalah kontraktor tulen. Bukankah
aneh untuk Presiden MCA membicara perkara yang sangat kecil iaitu
projek-projek kelas F?

8. Selain itu, sungguhpun kebanyakan kontraktor yang mendapat kontrak
kerajaan ialah kaum bumiputera kebanyakan pembekal dan pemborong
dikuasai oleh kaum bukan bumi terutamanya kaum Cina. Hampir 1/3 kos
projek kerajaan telah pun dikuasai oleh kaum Cina. Jika kaum Cina juga
memonopoli kontrak kerajaan bermakna agihan ekonomi yang adil itu sudah
tidak berlaku.

9. Kongres Ekonomi Cina sepatutnya mencari jalan bagaimana untuk
membesarkan peluang ekonomi terutamanya dalam sektor perkhidmatan
(services industry) dan industri pembuatan yang sekarang ini banyak
dikuasai oleh syarikat antarabangsa. Alangkah baiknya jika Kongres
Ekonomi Cina turut membincangkan bagaimana mahu membantu kaum
bumiputera yang masih tertinggal untuk turut menikmati kemakmuran
negara ini terutamanya dalam bidang yang dimonopoli oleh kaum Cina.

10. Sebenarnya apa yang Presiden MCA nyatakan tersebut ialah isu-isu di
kalangan ahli perniagaan Cina bukannya suara rakyat banyak. Justeru MCA
harus berfikir sama ada ia mahu terus menjadi parti ahli perniagaan
Cina semata-mata atau menjadi parti kaum Cina keseluruhannya.

11. Bagi majoriti rakyat di bawah tanpa mengira kaum, isu kos sara
hidup, peluang pekerjaan, pendidikan dan pendapatan yang kebih tinggi
merupakan agenda utama sekarang ini. Peningkatan harga barang,
pengangkutan, dan gas memasak telah meningkatkan kos sara hidup hari
ini sedangkan tiada indikator jelas kenaikan gaji terutamanya di sektor
swasta. Memandangkan kebanyakan rakyat membeli rumah secara pinjaman,
kenaikan kadar pinjaman asas turut menyempitkan lagi poket mereka.

12. Sejak pelaksanaan rasionalisasi subsidi ini rungutan semakin banyak
mengenai kenaikan harga barangan keperluan harian termasuk gas untuk
memasak. Dan siapakah pemimpin BN yang bercakap secara serius masalah
ini?Bagaimanakah Barisan Nasional sebagai parti pemerintah mahu
menyelesaikannya?

13. Inilah perkara-perkara asas yang MCA sebagai parti pro perniagaan perlu membantu kerajaan mencari jalan penyelesaian.

14. Datuk Seri Chua Soi Lek merupakan ahli politik yang berpengalaman
dan sangat efisyen dalam membawa perubahan kepada Kementerian Kesihatan
ketika beliau menjadi Menteri Kesihatan. Sebagai seorang yang pernah
dalam bidang perkhidmatan kesihatan kerajaan, saya fikir Dr. Chua
seorang Menteri Kesihatan terbaik yang pernah dimiliki oleh negara ini.

15. Justeru saya berharap, sebagai seorang Presiden parti komponen BN,
Dr. Chua harus memahami aspirasi rakyat bawah seperti mana beliau
melihat Kementerian Kesihatan dari kaca mata rakyat bawahan suatu
ketika dahulu