Selasa, Januari 20, 2009

Melakukan Pembaharuan Untuk Harapan Baru

1. Sehari selepas kalah di Kuala Terengganu saya di wawancara oleh TV3. Apabila ditanya apakah yang BN perlu lakukan bagi menghadapi fenomena ini saya menyarankan agar diadakan pembaharuan (reform) dalam parti dan kerajaan.

2. Pembaharuan yang saya utarakan ialah antara lain menukar imej dan kaedah kempen Barisan Nasional. Imej sedia ada BN sama ada dari segi pendekatan kempen, slogan mahu pun imej-imej poster dan baju harus diberi nafas baru. Setelah hampir 30 tahun menggunakan imej dan poendekatan yang sama, nyata ia telah agak ketinggalan zaman. Imej BN hari agak kurang "menangkap" jiwa anak-anak muda. Kempen BN juga harus menunjukkan ia sebuah perikatan yang berbilang kaum. Kempen berasingan UMNO untuk orang Melayu, MCA dan Gerakan untuk masyarakat tionghua dan MIC untuk kaum India sudah ketinggalan zaman. Ketika kita tidak dapat menafikan kepentingan setiap parti ini memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing, namun kempen pilihan raya harus menampakkan keakraban antara kaum ini.

3. Tapi pembaharuan terhadap BN merupakan perkara titik bengit yang mungkin tidak penting jika pembaharuan lebih besar dapat dilakukan oleh BN. Pembaharuan yang saya maksudkan ialah pembaharuan dalam kerajaan yang dikuasai oleh BN.

4. Saya menyarankan agar Dasar Ekonomi Baru harus dikaji semula dan diberi nafas baru atau diwujudkan formula pentadbiran baru negara yang merangkumi ekonomi, hubungan antara kaum dan agama yang boleh memuaskan hati orang Melayu dan bukan Melayu. Ini penting kerana saya melihat DEB telah diberi label dan tanggapan yang salah oleh pemimpin politik parti tertentu yang mempunyai agenda peribadi berbanding menjaga kepentingan bangsa, agama dan negara.

5. Pentadbiran kerajaan juga harus berubah. Lebih banyak kakitangan kerajaan diberi kerja lapangan berbanding sekadar memenuhi ruang pejabat di Putarajaya sehingga penuh sesak sekarang ini.

6. Jika kita lihat apabila Perikatan terlepas banyak kerusi pada 1969, Tun Abdul Razak ketika itu melontarkan perubahan yang ketara sama ada di dalam parti mahu pun kerajaan. Di dalam parti, allahyarham Tun Razak telah memberi nafas baru kepada Perikatan diberi nafas baru dengan melakukan pembaharuan imej, nama dan slogan. Perikatan bertukar kepada Barisan Nasional, lambang kapal layar bertukar kepada dacing

7. Lebih penting Tun Razak yang melihat masalah ketika itu mengemukakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan menstruktur semula ekonomi dan sosial masyarakat majmuk Malaysia. Ini semua memberi harapan baru dan juga hala tuju baru kepada rakyat ketika itu. Rakyat dan negara melihat BN mempunyai arah dan matlamat yang nyata dan ini memberi mereka keyakinan kepada BN selama lebih 30 tahun.

8. Namun keyakinan itu telah hilang sejak beberapa tahun kebelakangan ini. DEB sudah dilihat oleh sebahagian rakyat sebagai mantera lama yang tidak lagi meyakinkan mereka. Polisi-polisi pembangunan baru juga tidak menambat hati nurani rakyat biasa. Sebahagian rakyat melihat BN sudah menjadi satu imej yang streotype dan tidak mengujaka.

9. Mungkin secara kebetulan atau ketentuan Allah, sejarah berulang lagi. Kali ini giliran anak allahyarham Tun Razak, Datuk Seri Najib memikul tanggungjawab yang hampir sama seperti bebanan allahyarham ayahndanya. Tanggungjawab memulihkan BN ini merupakan satu tanggungjawab yang menuntut keberanian dan kekuatan politik.

10. Saya melihat Datuk Seri Najib ada keberanian dan kekuatan tersebut. Cuma adakah beliau akan menggunakan kekuatan dan keberanian ini untuk melakukan pembaharuan dan memberi harapan yang segar kepada generasi muda?

Dr Mohamad Khir Toyo