Jumaat, Mac 05, 2010

Harussani dedah keangkuhan Pas

Setelah berdiam diri hampir dua tahun selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria hari ini meluahkan apa yang terbuku di hati.

Beliau menceritakan keangkuhan Pas Perak yang menolak mentah-mentah cadangan penubuhan kerajaan perpaduan di negeri itu, walaupun secara dasarnya ia diperkenan oleh Sultan Perak, Raja Azlan Shah dan juga dipersetujui oleh kepimpinan tertinggi parti itu.

"Apabila dikemukakan cadangan penubuhan kerajaan campuran antara Pas dan Barisan Nasional (BN), Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang terus berkata, kita tidak akan bersekongkol dengan orang Islam (UMNO) yang zalim, lebih baik berkawan dengan kafir (DAP).

"Saya tanya hadis dan ayat mana yang dipakai kerana setahu saya ada hadis mengatakan tolonglah saudara kamu yang zalim dan dizalimi. Saya kata jika BN ini zalim, saya tawarkan wakil rakyat Pas menjadi Menteri Besar dan yang lain akan jadi Exco bersama BN.

"Sultan secara dasarnya berkenan dengan cadangan ini, tetapi dia (Ahmad) masih berkeras menolaknya. Saya kata al-Quran menyebut jika sayang kepada kafir maka kita adalah kafir, beliau (Ahmad) kata dia menggunakan kaedah fikah dalam perkara itu.

"Kemudian saya kata mana boleh kaedah fikah digunakan apabila ia bertentangan dengan nas al-Quran, ia tidak boleh dipakai," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Za'ba, Perpaduan Melayu: Cabaran dan Realiti di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini yang dipengerusikan Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof. Dr. Idris Zakaria.

Panelis lain yang turut menyertai program itu ialah Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ruhanie Ahmad dan Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Prof. Madya Datuk Abdul Halim Sidek

Mengimbas kembali perkara itu, Harussani berkata, cadangan itu bermula selepas pilihan raya umum apabila DAP dan BN masing-masing mendapat 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermaksud Pas akan menjadi penentu kepada kerajaan yang akan dibentuk.

Katanya, beliau dilantik sebagai orang tengah dan persoalan yang timbul ialah daripada 28 wakil rakyat BN hanya seorang Cina.

"Kenapa Pas tidak boleh bergabung untuk membentuk kerajaan yang sudah pasti akan memperoleh majoriti 100 peratus Melayu memerintah.

"Saya telah berjumpa dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan dan berbincang hampir dua jam, pada awalnya beliau tidak bersetuju tetapi akhirnya dia kata idea itu bagus tetapi tidak dapat memberi keputusan kerana ia bergantung kepada Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Saya maklumkan bahawa tidak berapa rapat dengan Hadi, jadi jika cadangan itu baik saya minta beliau (Nik Aziz) maklumkan kepada Hadi. Semasa dalam perjalanan balik iaitu berada di Cameron Highlands, Hadi telah hubungi saya dan bersetuju dengan cadangan itu.

"Tetapi Hadi kata dia tidak boleh buat keputusan kerana ia bergantung pada negeri iaitu Pesuruhjaya Pas Negeri (Ahmad). Saya juga telah hubungi Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din dan dia juga bersetuju," katanya.

Jelas Harussani, semasa sampai di Ipoh beliau yang optimis dengan cadangan itu yang turut disokong kepimpinan tertinggi Pas telah menghubungi Ahmad, tetapi malangnya jawapan yang diterima amat mendukacitakan.

Beliau mendakwa, Pas Perak sebenarnya telah diperalatkan oleh DAP bagi memenuhi kepentingan tuntutan politik mereka.

"Contohnya semasa orang Melayu berbaring di atas jalan raya bagi menghalang laluan kereta Sultan Perak pada masa itu, langsung tiada orang DAP turut serta dan apabila saya tanya, mereka (orang Cina) berkata itu kerja Melayu, kami banyak lagi kerja lain nak dibuat,"

Rabu, Mac 03, 2010

Ezam Dedahkan Anwar Pernah MENZALIMI Nik Aziz & PAS

Sepertimana lazimnya Ezam yang memiliki aura sebagai seorang pemidato yang hebat telah membuatkan kesemua hadirin tidak berganjak untuk mendengar segala kupasan isu politik semasa termasuklah beberapa pendedahan kepincangan dalam Pakatan Pembangkang.

“ PAS jangan bodoh mahu terus menyokong Anwar…” begitulah kata Ezam penuh kekesalan.

Ezam kesal dengan tindak tanduk Nik Aziz yang terlalu menyokong Anwar sedangkan terbukti bahawa Anwar pernah menzalimi rakyat Kelantan hanya disebabkan Nik Aziz berbeza fahaman politik dengan Anwar suatu ketika dahulu….

Perkara ini berlaku sewaktu Anwar sedang menjawat jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan.

“ waktu itu Nik Aziz sebagai Ketua Kerajaan negeri Kelantan telah memohon bantuan kerajaan pusat untuk meluluskan peruntukan rawatan air di Kelantan…” jelas Ezam

Tambah Ezam lagi, “…kedudukan kewangan Kelantan ketika itu tidak membolehkan mereka untuk mampu melakukan proses rawatan air dinegeri itu, dan ianya amatlah penting untuk menyediakan air yang bersih setelah dirawat untuk diminum dan digunakan...”

“pada waktu itu negeri Kelantan merupakan satu satunya negeri dalam Malaysia yang masih belum membuat rawatan air kerana tidak mampu...” tegas Ezam.

Malang sekali nasib rakyat Kelantan apabila perkara ini dibawa kepada Anwar Ibrahim ianya telah ditolak mentah mentah. Malah kata Ezam beliau simpati dengan nasib rakyat Kelantan kerana sikap Anwar dengan bongkak bukan sahaja tidak meluluskan tetapi menyebut perkataan “ No Way..!”

“ Menteri Kerja Raya ketika itu, Datuk Amar Leo Moggie walaupun bukan islam namun beliau juga memiliki hati perut yang bersih mahu melihat rakyat islam di Kelantan turut sama mendapat kemudahan ini. Leo Moggie telah secara peribadi merayu kepada Anwar tetapi mantan TPM itu tetap dengan keputusannya malah menyebut ‘No Way!’…” Ezam meneruskan ceritanya.

Menurut Ezam lagi, perkara ini telah diselesaikan oleh Tun Daim apabila beliau menjadi Menteri Kewangan setelah Anwar dipecat. Akhirnya peruntukan untuk Kelantan merawat air telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan dan kerajaan pusat yang tidak pernah mahu manzalimi rakyat walaupun kerajaan negeri itu milik pembangkang.

Begitulah hipokritnya makhluk bernama Anwar Ibrahim yang kini dijilat jilat oleh pemimpin dan ahli ahli PAS….

Ezam akan terus menggegarkan Pentas Pidato dan Ceramah Umum di Selangor dan destinasi seterusnya adalah di Parlimen Kota Raja…!


SATU LAGI...MP PKR Bagan Serai cabut

Belum sejuk kisah Ahli Parlimen PKR Nibong Tebal, Tan Tee Beng kelmarin keluar dari parti menyertai rakan sejawatnya dari Bayan Baru, Datuk Zahrain Mohamed Hashim....hari ini Ahli Parlimen Bagan Serai, Perak,Mohsin Fadzli Samsuri ikut jejak mereka.

Beliau juga umum serta merta jadi Ahli Parlimen Bebas.Beliau membuat pengumuman itu dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur pagi ini.

beliau kecewa pakatan pembangkang mengkritik institusi raja dan kehakiman dan tidak puas hati sikap PKR menyokong penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Katanya beliau tidak boleh berkompromi lagi dengan tindak tanduk ini.

Hadir sama di sidang akhbar itu ialah bekas Setiausaha Agung PKR Datuk Salehuddin Hashim.