Isnin, Julai 04, 2011

Titah khas Yang di-Pertuan Agong

Teks Titah Khas

Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

Namun Beta yakin kepimpinan negara di bawah Yang Amat Berhormat Dato' Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin.

Beta menyeru di dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.

Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.

Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu "Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran".

Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.

Sebaliknya kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.

Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin

Jumaat, Julai 01, 2011

Perhimpunan Haram Bukan Cara Betul Tegur Pemerintah

Umat Islam di negara ini diingatkan supaya menggunakan cara yang disyorkan oleh Islam ketika hendak menegur pemerintah dan bukan dengan mengadakan perhimpunan haram yang boleh menimbulkan perpecahan sesama sendiri.

Berkata seelok-eloknya umat Islam yang ingin menegur pemerintah haruslah berdasarkan saranan Rasulullah SAW iaitu melakukannya mengikut saluran yang betul.

“Lakukanlah secara peribadi dan individu, dan ia (nasihat) harus diberi secara rahsia, kerana apabila mana sesuatu nasihat diberi secara terbuka, itu bukan lagi nasihat, sebaliknya ia akan membuka keaiban pemerintah, dan itu amat ditegah dalam Islam.

Merujuk kepada sejarah Islam, beliau menceritakan bagaimana seorang Yahudi bernama Abdullah Saba menganjurkan perhimpunan pada zaman Khalifah Uthman Affan sehingga menimbulkan perpecahan dan akhirnya mengorbankan nyawa khalifah itu sendiri.

“Kalau kita perhatikan, tidak wujud demonstrasi yang diredai Rasulullah, tapi demonstrasi yang tak diredai ada…iaitu demonstrasi yang mengakibatkan kematian Uthman Affan oleh seorang Yahudi bernama Abdullah Saba,”

Fadlan turut menempelak sikap ulama yang menyalahgunakan dalil untuk membenarkan perhimpunan haram yang dijadual 9 Julai ini.

Beliau berkata kenyataan bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang memetik sebuah hadis Rasulullah mengenai seorang sahabat mengadakan demonstrasi jalanan kerana disakiti jiran sebagai dalil membenarkan demonstrasi jalanan adalah tidak tetap.

“Cara guna dalil itu tidak tepat, tajuk dalil itu tak sama, dalil kejiranan tak boleh disamakan dengan dalil kepimpinan. Hadis itu memang sahih, tetapi situasinya tidak sama kerana jiran tidak boleh disamakan dengan pemerintah.

Seorang lagi ahli, Idris Sulaiman, yang merupakan penyelidik di Kedutaan Arab Saudi, juga meminta umat Islam supaya mengikut lunas yang ditetapkan Islam dalam menyuarakan sesuatu terhadap pemerintah dan bukannya dengan menyertai perhimpunan haram.

Beliau berkata, garis panduan yang ditetapkan Islam termasuklah saranan Rasulullah SAW agar umat Islam menegur pemerintah menggunakan nasihat yang disulami niat ikhlas dan iktibar.

“Kalau tepati syarat-syarat tersebut, baru perbuatan tadi akan dikatakan sebagai nasihat kerana kalau tak tepati dua syarat ini, silap haribulan nasihat diberikan akan berubah jadi satu celaan dan membuka aib orang yang kononnya kita nak nasihat.

“Jika terdapat pertelingkahan atau perselihan faham, maka kita harus selesaikan pemasalahan kita dengan merujuk kembali kepada Al-Quran dan Sunnah, bukan melalui perhimpunan haram.

Idris berkata perhimpunan itu bukanlah sesuatu yang disarankan dalam agama, malahan tidak terdapat dalil-dalil yang sahih yang membenarkan perhimpunan sebegitu dijalankan.

Dr Fadlan Mohd Othman