Selasa, Ogos 31, 2010

Ingat sebelum nasi jadi bubur…pencerobohan mungkin bermula dari sebuah surau – titah Raja Nazrin

Mesej Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah ini cukup jelas dan mudah difahami.Ia boleh dilihat dalam konteks berbagai polimek politik yang melanda negara sekarang.Baginda tidak berselindung dalammengingatkan umat Islam di negara ini agar tidak terbawa dalam persaingan mengejar pengaruh hingga ‘ membuka laluan’ membolehkan bukan Islam melakukan pencerobohan dan kemusnahan.

"Pencerobohan besar bermula dari perbuatan kecil. Ia mungkin bermula dari sebuah surau, atau sebuah madrasah, atau sebuah masjid atau sebuah mimbar,” titah baginda

Baginda bimbang jika dalam menghadapi pencerobohan kecil, umat Islam masih belum insaf, masih berdegil dan masih sombong mempertahankan ego, masih memilih untuk bertelagah, maka umat Islam sebenarnya telah memberikan petanda yang salah; petanda seolah-olah menggalakkan pencerobohan lebih besar.

Menurut baginda, penderitaan dan penghinaan yang menimpa sebahagian umat Islam di dunia terutama contoh-contoh ketara di Palestin, Afghanistan dan Iraq, bermula dari pemesongan yang berlaku di kalangan pemimpin hingga mereka sendiri membuka laluan yang membolehkan bukan Islam melakukan pencerobohan dan kemusnahan.

Serentak dengan itu Raja Nazrin menyifatkan pemimpin Islam yang memilih untuk bertelagah dan bersaing mencari pengaruh, sehingga tergamak melakukan perkara-perkara ekstrem yang mencemar agama dan maruah ummah, sebagai golongan yang telah menyimpang dari prinsip asas Islam.

Ini kerana prinsip asas Islam sentiasa menyeru kepada perpaduan ummah, titah baginda sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPeim) peringkat negeri serta sumbangan Aidilfitri Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK) di IpohIsnin.

"Umat Islam di negara ini kini berada dalam suasana kritikal, bagaikan tenggelam punca, bagaikan bersedia berpaut kepada apa sahaja yang dapat dicapai untuk terus timbul dalam arus yang mungkin membawa mereka menuju kepada penghujung yang amat membimbangkan," titah baginda.

Umat Islam wajib mengambil pengajaran sebelum nasi menjadi bubur, tegas baginda.

"Ingatlah! Sedarilah! Insaflah! ketika umat Islam jatuh dan menjadi lemah, janganlah diharap ada pihak yang akan bersimpati untuk membela nasib mereka. Masa hadapan dan penentuan nasib umat Islam berada di tangan umat Islam. Selagi umat Islam kekal bersatu dan teguh berpadu, tidak ada pihak yang boleh meruntuh atau menjatuhkannya.

Kejatuhan umat akan berlaku apabila umat memilih untuk tidak bersatu malah saban hari terus menghakiskan kekuatan di antara satu sama lain," titah baginda.

Baginda bertitah jika para pemimpin di peringkat tertinggi organisasi memperlihatkan contoh teladan bersefahaman, saling membantu dan saling bekerjasama, pengikut di bawah tentunya akan dapat bertaut erat.

"Bahawa pemikiran, perkataan dan tindak laku pemimpin itu akan dijadikan teladan ikutan dan menjadi penentu arah kepada pengikut, kerana itu, jika pemimpin bertelagah maka pengikut akan turut berpecah," titah Raja Nazrin.

"Berbahagialah ummah, jika barisan pemimpin Islam dan organisasi berteraskan Islam senantiasa berusaha menjalinkan semangat persefahaman serta senantiasa bergerak ke arah membina jambatan kerjasama; tentunya pemikiran, tenaga dan sumber umat Islam akan menjadi lebih produktif dan ukhuwah di kalangan ummah akan menjadi lebih teguh," titah baginda.

Raja Nazrin turut mengingatkan para pemimpin bahawa selagi golongan fakir miskin wujud di negara ini, mereka masih berdepan cabaran dan tanggungjawab besar untuk memastikan pengagihan sumber kekayaan negara berlaku secara adil dan saksama.

"Kewujudan fakir miskin harus juga menginsafkan warga yang telah hidup senang, warga yang telah mendapat banyak nikmat serta kemudahan, untuk tidak bersifat tamak, bernafsu membolot seluruh kekayaan tanpa menghiraukan penderitaan golongan yang masih miskin dan susah.

Usaha membantu fakir miskin - usaha membasmi kemiskinan adalah satu jihad. Agihan pendapatan yang lebih saksama merupakan satu kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh para pemimpin yang memegang amanah pemerintahan," titahnya.

Baginda bertitah keadilan sejati masih belum tercapai sepenuhnya selagi agihan kekayaan yang saksama tidak dapat dipenuhi, sehingga menyebabkan jurang pendapatan yang ketara antara orang miskin dan kaya.

"Apatah lagi jika cara kekayaan terhimpun kepada kumpulan tertentu yang diperoleh melalui pemberian yang tidak mematuhi amalan pengurusan yang telus lagi teratur, titah baginda.