1. Terlebih dahulu saya mohon maaf kerana tidak dapat mengemaskini blog ini hampir sebulan.
2. Seperti mana kita sedia maklumi kerajaan Pakatan Rakyat telah pun membentang Bajet pertamanya di Selangor beberapa hari lalu. Pada awalnya saya menjangkakan kerajaan negeri akan sedaya upaya membentangkan Bajet yang mencerminkan usaha-usaha untuk memenuhi janji-janji dalam manifesto pilihan raya yang lalu.
3. Malangnya, jika diteliti tidak sampai sepuluh peratus daripada janji tersebut disebut semula dalam Bajet ini. Antara yang disebut ialah Tabung wawasan Anak Selangor (Tawas), Bekalan air percuma 20 meter padu pertama, Hadiah anak masuk ke universiti dan Tabung mesra usia emas.
4. Namun, ada lebih 20 janji lagi dalam manifesto yang tidak disebut langsung, mungkin dengan harapan rakyat akan lupa. Antaranya ialah:
a. janji potongan cukai pintu sebanyak 20% untuk premis kediaman dan 10% untuk premis perniagaan.
b. elaun anak tadika RM 50 seorang sebulan
c. Elaun anak pusat asuhan kanak-kanan, RM 75 sebulan
d. elaun khas ibu-ibu yang memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa.
e. elauan khas ibu tunggal
f. bantuan kewangan untuk anak muda berkahwin
g. bantuan geran untuk perniagaan
h. memberi sewa percuma sekurang-kurangnya tiga bulan pertama di premis perniagaan milik kerajaan negeri
i. membiayai rawatan percuma untuk warga Selangor yang berusi 60 tahun ke atas dan banyak lagi,
4. Jelas Bajet pertama Pakatan rakyat di Selangor ini gagal memberi penumpuan kepada usaha-usaha melaksanakan janji pilihan raya menunjukkan Bajet yang dibentang bercanggah sama sekali dan menyimpang jauh dari janji manifesto Pakatan rakyat dalam pilihan raya lalu.
5. Saya tidak tahu apa alasan yang akan PR berikan kepada rakyat Selangor kerana gagal menunaikan janji..
6. Suatu ketika dahulu saya ditempelak kerana tidak sabar menunggu janji tersebut ditunaikan, Dan ketika sambutan 100 hari PR menjadi kerajaan. YAB. Menteri Besar ada berjanji untuk melaksanakan sekurang-kurangnya 50% janji manifesto dalam bajet pertamanya.
7. Namun saya juga ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada kerajaan pakatan rakyat atas keberanian mereka menaikkan Paras Garis Kemiskinan (PGK) daripada RM 731 kepada RM 1, 500. Menurut MB, dalam Bajet tersebut, dengan PGK baru ini, 30% rakyat Selangor berada di bawah paras kemiskinan.
8. Malangnya, keberanian tersebut tidak pula diikuti dengan langkah berani mengatasi kemiskinan dan meningkatkan pendapatan isi rumah. Sepatutnya peningkatan PGK ini hendaklah diikuti dengan pelan perancangan kerajaan bagi meningkatkan pendapatan isu rumah daripada kurang RM 731 kepada lebih RM 1, 500.
9. Lebih anehnya, pengisyitiharan PGK baru ini tidak pula diikuti dengan kenaikan gaji kakitangan kerajaan negeri. Ini bermakna terdapat kakitangan kerajaan negeri berada di bawah paras kemiskinan.
10. Seiring dengan pengisytiharan paras garis kemiskinan baru ini, saya fikir amat wajar untuk gaji kakitangan kerajaan negeri dinaikkan di atas RM 1, 500.
11. Ada beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat mempersoalkan mengapa kerajaan negeri tidak menaikkan gaji kakitangan kerajaan. Guru-guru sekolah agama rendah dan guru-guru sekolah agama rakyat dan juga kakitangan sokongan di semua jabatan dalam negeri Selangor juga berada di bawah garis kemiskinan berdasarkan PGK baru ini.
12. Adalah tidak wajar menaikkan paras garis kemiskinan dan membiarkan begitu sahaja.
13. Saya harap kerajaan negeri perlu memastikan tiga puluh peratus kemiskinan ini dapat dikurangkan dalam jangka masa setahun ini dan akan dapat dilihat dalam bajet tahun depan.14. Jika tidak usaha menaikkan PGK ini tidak lebih dari menang sorak kampung tergadai. Bersorak kita bahawa kerajaan prihatin kerana menaikkan PGK tapi tiada apa yang untung kerana tiada satu pun tindakan dirancang meningkatkan pendapatan rakyat.
Dr Mohamad Khir Toyo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan